Khamis, 28 March 2019 | 12:34pm
BMW Group Malaysia memperkenalkan model ikonik 3 Series, BMW 330i M Sport untuk pasaran Malaysia yang ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM328,800. - NSTP/Mohd Zaky Zainuddin

BMW Group Malaysia perkenal model 330i M Sport

KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia melancarkan model sedan sport ikonik generasi ketujuh iaitu BMW 3 Series baharu ke pasaran negara ini yang boleh didapati di rangkaian pengedar bertauliah bermula hari ini.

Sedan sport yang diperkenalkan dalam pakej ‘M Sport’ khas, BMW 330i M Sport untuk pasaran Malaysia ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM328,800.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl, berkata model lagenda 3 Series itu menampilkan reka bentuk sport yang dinamik dengan dimensi baharu dan hadir dengan keterampilan atletik yang lebih menonjol.


BMW Group Malaysia melancarkan model sedan sport ikonik generasi ketujuh iaitu BMW 3 Series baharu. - NSTP/Mohd Zaky Zainuddin

"BMW 3 Series ialah model yang menjurusi penubuhan segmen sedan sport premium. Sejak lebih dari 45 tahun, 3 Series secara berterusan menaikkan tanda aras bagi Kenikmatan Pemanduan yang Sempurna (Sheer Driving Pleasure) dalam industri automotif premium.

"Hari ini, BMW 3 Series yang baharu menerusi generasi ketujuhnya, membawakan perwatakan signatur jentera BMW ke aras yang baharu dengan reka bentuk serba dinamik, pemanduan yang cemerlang serta teknologi dan inovasi yang tidak pernah dilihat sebelum ini dalam industri automotif Malaysia," katanya ketika melancarkan model itu di sini, hari ini.

BMW 330i M Sport baharu merevolusikan Kenikmatan Pemanduan yang Sempurna dengan ciri keterhubungan yang bertaraf tinggi, termasuk pengenalan fungsi baharu dalam kelasnya iaitu 'BMW Intelligent Personal Assistant' dengan kepintaran pengiktirafan suara yang luar biasa.

Fungsi inovatif seperti kunci digital (BMW Digital Key) juga kini ditawarkan bagi BMW 3 Series baharu yang mana membolehkan pemilik membuka kunci kenderaan mereka dan menghidupkan enjin dengan penggunaan telefon pintar Android tertentu menerusi teknologi ‘Near Field Communications’ (NFC).

Sedan sport premium itu didatangkan dengan Bantuan Parkir (Parking Assistant), selain turut disertakan dengan Bantuan Mengundur (Reversing Assist) yang membolehkannya mengundur kenderaan secara separa autonomi pada kelajuan rendah melalui ruangan yang sempit.

Enjin petrol empat silinder sebaris yang dimiliki berfungsi sebagai nadi jentera baharu yang menjamin penggunaan bahan bakar dan emisi karbon yang rendah, dibantu transmisi Steptronic Sport 8-kelajuan versi baharu.

Kuasa enjin petrol Turbo TwinPower 2.0 liter yang paling berkuasa dalam kelasnya dipasang pada BMW 330i M Sport baharu ini.Ia mampu menjana kelajuan tertinggi mencecah 250 kilometer sejam (km/j) dan berupaya untuk menjana output sebanyak 258 kuasa kuda (hp) dengan tork puncak 400 Nm pada 1,550 hingga 4,400 rpm.

BMW 330i M Sport juga boleh memecut daripada kelajuan 0 hingga 100 kilometer (km) dalam masa 5.8 saat. Dengan transmisi Steptronic Sport 8-kelajuan yang dikemas kini, sedan sport terunggul itu hanya menggunakan bahan bakar sebanyak 6.4 liter setiap 100 km.

Pakej M Sport yang hadir dalam model baharu itu turut meliputi roda M Light Alloy 18 inci, Double Spoke Style 790 M, Orbit Grey dwi-warna dengan tayar bercampur, selain beberapa bahagian yang sinonim dengan penampilan pakej itu.

Dipenuhi dengan ciri futuristik, model baharu itu juga menampilkan langganan ‘BMW Connected Package Professional’, bersama fungsi ‘BMW Intelligent Personal Assistant’ dan ‘BMW Digital Key’ yang menjadikan pemilikan BMW 330i M Sport lebih memuaskan.

BMW 3 Series baharu ditawarkan dalam lima warna iaitu 'Portimao Blue', 'Black Sapphire', 'Alpine White', 'Mineral Grey' dan 'Sunset Orange' yang dipadankan dengan warna hitam premium atau upholsteri 'Cognac Leather Vernasca' dan kemasan trim dalaman 'Aluminium Tetragon'.

Berita Harian X