Selasa, 2 April 2019 | 12:22pm
Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes Sdn Bhd, Datuk Razak Al Malique (dua dari kiri) di samping dua model baharu motosikal Triumph, Street Scrambler dan Street Twin. - NSTP/Supian Ahmad

Triumph perkenal lima model baharu

Fast Bikes Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal jenama Triumph di Malaysia baru-baru ini memperkenalkan rangkaian klasik moden Triumph 2019 apabila melancarkan lima model baharu untuk pasaran tempatan.

Model baharu itu terdiri daripada Street Twin, Street Scrambler, Scrambler XC, Scrambler XE dan Speed Twin.

Bermula dengan model Street Twin, ia dijual pada harga RM55,900 serta ditawarkan menerusi tiga pilihan warna iaitu Matt Ironstone, Korosi Red dan Jet Blac.k.

Dijana enjin Bonneville 900cc yang dipertingkat ia membolehkan jentera itu menghasilkan kuasa 65 PS pada 7,500 rpm dan tork maksimum 80Nm pada 3,800 rpm.

Mod tunggangan Road dan Rain baharu

Antara teknologi yang hadir pada jentera itu termasuk mod tunggangan Road dan Rain baharu, keupayaan memilih aksesori Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), kawalan cengkaman boleh tukar serta dilengkapi angkup brek depan Brembo dengan empat omboh baharu.

Menurut Fast Bikes atau lebih dikenali sebagai Triumph Motorcycles Malaysia, model Street Scrambler 2019 pula membawakan dimensi baharu dalam prestasi menerusi peningkatan kuasa dan spesifikasi, teknologi termaju dalam kelasnya dan tahap kemasan yang lebih baik.

"Dijual pada harga RM64,900, motosikal ini hadir dengan pilihan warna Fusion White, Cranberry Red dan Khaki Green dengan Matt Aluminium. Selain itu, ia juga didatangkan mod tunggangan Road, Rain dan Off-Road, kawalan cengkaman boleh tukar serta ABS," katanya.

Kelebihan mengharungi laluan lasak

Sementara itu, model Scrambler 1200 XC dan XE masing-masing dijual pada harga RM80,900 dan RM86,900, menampilkan unit suspensi belakang Ohlins spring berkembar boleh laras sepenuhnya untuk kelebihan mengharungi laluan lasak.

Menggunakan enjin Bonneville High Power 1,200cc, ia membolehkan kedua-dua model mencapai kuasa puncak 90 PS pada ,7,400, 38 peratus lebih tinggi berbanding Street Scrambler 2019.

Scrambler XC dan XE pula dilengkapi peralatan TFT generasi kedua, enam mod tunggangan, sistem jasalan GoPro bersepadu dan sistem navigasi manakala ciri 'Optimised Cornering ABS', 'Optmised Cornering Traction Control' dan 'Inertial Measurement Unit' (IMU) hanya terdapat pada XE sahaja.

Model Speed Twin pula memiliki enjin Bonneville berkembar selari 1,200cc High Power lapan injap yang dikemaskini secara khusus dengan talaan 'Thruxton' untuk menghasilkan kuasa puncak 97 PS lada 6,750 rpm dan tork maksimum 112 Nm pada 4,950 rpm.

Dilengkapi tiga mod tunggangan iaitu Sport, Road dan Rain, ia dijual pada harga RM73,900 dan ditawarkan menerusi tiga pilihan warna iaitu Silver Ice dan Storm Grey; Korosi Red dan Storm Grey; serta Jet Black.

INFO

• Street Twin - RM55,900

• Street Scrambler - RM64,900

• Scrambler XC - RM80,900

• Scrambler XE - RM86,900

• Speed Twin - RM73,900

Berita Harian X