Selasa, 23 April 2019 | 10:38pm
PENGERUSI Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar (tiga dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Ling Chun Rong (kiri) hadir sempena majlis perasmian model baharu Proton Persona dan Iriz di KL Convention Centre. - NSTP/Supian Ahmad

PROTON lancar Iriz, Persona pada harga RM36,700, RM42,600

KUALA LUMPUR: PROTON Holdings Bhd melancarkan dua model baharu iaitu Proton Iriz dan Persona 2019, yang mana sebelum ini menarik perhatian ramai ketika dipamerkan di Pameran Auto Malaysia.

PROTON mengumumkan harga atas jalan (OTR) model baharu Iriz bermula pada RM36,700; manakala OTR bagi unit 2019 Persona bermula RM42,600.

Pengerusi PROTON, Datuk Seri Syed Faisal Albar, berkata model hatchback dan sedan keluarga segmen-B PROTON itu ditambah baik secara menyeluruh membabitkan lebih 300 bahagian.

Bahkan, katanya, komitmen PROTON untuk membangunkan teknologi dalam pemanduan pengguna turut membawa kepada pengenalan ciri pintar pertama dalam kelas seperti kereta yang boleh berinteraksi dengan pemandu dan memiliki internet.

“Teknologi pintar yang diterapkan dalam Iriz dan Persona 2019 ini adalah usaha PROTON membawakan kereta pintar pada harga mampu milik di pasaran yang bukan hanya memiliki teknologi tinggi tetapi juga keseronokan dalam pemanduan.

“Selepas rekod pencapaian X70 pada awal tahun, kami mengharapkan Iriz dan Persona menjadi satu lagi pemangkin melonjakkan jualan untuk mencapai pelan pemulihan syarikat,” katanya pada majlis pelancaran model itu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya gembira dengan pencapaian X70 yang sangat menggalakkan dengan menyaksikan PROTON mendahului jualan pasaran SUV melalui Proton X70 suku pertama tahun ini.

Katanya, sehingga kini, lebih 11,000 unit X70 sudah diserahkan kepada pemiliknya manakala tempahan diterima mencecah lebih 25,000 unit.

“Kami tidak melupakan jasa semua pihak yang membantu kami berdepan dengan cabaran sebelum ini dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang bersama kami sehingga kini,” katanya.

Menerusi sistem stereo pintar pada Proton Iriz dan Persona 2019 ini, PROTON memperkenalkan ciri pertama dalam kelas untuk menampilkan revolusi dalam segmen pasaran yang oleh didapati pada varian Premium 1.6AT.

Sistem itu menggunakan kad eSIM yang membolehkan pengguna untuk kekal bersambung ke Internet.

Seperti SUV pertama PROTON, Proton X70, kedua-dua model turut dilengkapi dengan aplikasi pengecaman suara diaktifkan melalui kata kunci “Hi Proton!” yang boleh mengakses pelbagai pilihan arahan suara ini.

Berita Harian X