Selasa, 28 Mei 2019 | 1:02pm

Hyundai rancang edar NEXO di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Hyundai Motor Company (HMC) dan Hyundai-Sime Darby Motors merancang untuk memasarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) crossover dijana bahan api hidrogen, Hyundai NEXO di rantau Asia Tenggara.

Ia susulan penjualan dua unit NEXO kepada Sarawak Energy Bhd, bagi loji pengeluaran hidrogen dan stesen isian semula di Kuching.

Kedua-dua unit berkenaan telah diserahkan awal bulan ini dan sedang menjalani ujian.

Projek Sarawak Energy menyasarkan untuk menilai daya guna hidrogen dan sel bahan api untuk menjana sektor pengangkutan Sarawak pada masa depan.

Stesen isian semula pula akan menjadi yang pertama seumpamanya dikhususkan bagi pengangkutan di Asia Tenggara.

Hyundai NEXO memimpin rancangan HMC untuk membangunkan kenderaan pelepasan sifar.

Powertrain elektrik sel bahan api NEXO menawarkan teknologi kenderaan elektrik terkini, dengan prestasi dipertingkatkan berbanding ix35 Fuel Cell yang terdahulu.

Selain daripada powertrain yang mesra alam sekitar, NEXO juga mempunyai sistem pembersihan udara moden yang menapis sehingga 99.9 peratus debu kecil.

NEXO juga dianugerahkan UL Bio Environmental Seal kerana menggunakan serat bio daripada sisa tebu dan bahan plastik sayuran di bahagian ‘headliner’ dan alas kaki; bio plastik daripada sisa jagung dan tebu di kemasan pintu, tempat duduk, tiang serta konsol; selain cat bio diekstrak daripada minyak ‘rapeseed’ dan kacang soya untuk papan pemuka serta konsol tengah.

Permintaan bagi kenderaan mesra alam sekitar seperti elektrik dan plug-in semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu, didorong oleh dasar kerajaan di pelbagai negara untuk mengurangkan pencemaran.

Menurut HMC, NEXO yang baru-baru ini dinamakan sebagai kenderaan ‘pencetus perubahan’ pada Auto Car Awards di United Kingdom (UK), mempunyai potensi besar dalam pasaran kereta mesra alam di Asia Tenggara.

Berita Harian X