Khamis, 13 Jun 2019 | 8:02am

Untung Bermaz Auto melonjak kepada RM265.3 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Bermaz Auto Bhd (BAuto) melonjak 90 peratus kepada RM265.26 juta pada tahun kewangan berakhir 30 April 2019.

Ia berikutan jumlah jualan domestik dan marjin keuntungan kasar yang meningkat, serta sumbangan keuntungan yang lebih tinggi daripada syarikat sekutu, Mazda Malaysia Sdn Bhd.

BAuto, pengedar kenderaan Mazda di Malaysia dan Filipina, berkata perolehan meningkat 25 peratus tahun ke tahun kepada RM2.49 bilion berikutan permintaan kukuh didorong tempoh bebas cukai dari Jun hingga Ogos 2018 dan langkah kumpulan itu menyerap Cukai Jualan dan Perkhidmatan untuk tempahan yang diterima sebelum 1 September 2018.

“Ini sebahagiannya diimbangi pengurangan jumlah jualan daripada operasi di Filipina berikutan jualannya terjejas oleh pembaharuan cukai bagi undang-undang pecutan dan kemasukan (TRAIN),” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Kumpulan itu turut mengumumkan dividen interim keempat sebanyak 3.5 sen sesaham dan dividen khas 7.0 sen sesaham pada tahun kewangan 2019, meningkatkan jumlah dividen bagi tahun ini kepada 21.25 sen (tahun kewangan 2018: 10.4 sen), dividen tertinggi yang diumumkan sejak penyenaraiannya pada November 2013.

Berhubung prospek, BAuto berkata sentimen pengguna boleh terjejas oleh ketidakpastian pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kajian semula projek mega oleh kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14, ringgit yang lemah dan garis panduan sewa beli yang ketat.

“Bagaimanapun, pelancaran daripada semua model Mazda3, CX-8, CX-30 yang baharu dan wajah baharu model CX-5 yang popular, termasuk varian turbo 2.5cc di Malaysia, pada separuh kedua 2019 dapat mengurangkan cabaran tersebut,” kata syarikat itu.

Bagi pasaran Filipina, pasaran kenderaan baharu terus rendah, sebahagian besarnya disebabkan pelaksanaan undang-undang TRAIN pada Januari 2018.

“Ini menyebabkan permintaan berkurangan bagi kebanyakan, jika tidak semua, jenama kereta dan operasi kumpulan di Filipina turut tidak terkecuali,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X