Jumaat, 28 Jun 2019 | 2:56pm
HARALD Hoelzl ketika melancarkan kereta BMW M2 Competition terbaru. - Foto Aizuddin Saad

BMW Group Malaysia perkenal M2 Competition

SEPANG: BMW Group Malaysia memperkenalkan BMW M2 Competition terbaharu, kenderaan berprestasi premium yang ditawarkan pada RM626,800. 

Pengarah Urusannya, Harald Hoelzl, berkata BMW M2 Competition terbaharu dibangunkan menerusi legasi BMW 2002 Turbo untuk merungkaikan sebuah hasil karya sukan permotoran yang tulen.

“Ia membuktikan kredibilitinya di atas litar lumba dengan melengkapkan pusingan pecutan dalam masa 7 minit 54 saat di Litar Lumba Nurburgring Nordschleife. 

“Pada tahun ini, BMW M2 Competition yang terbaharu muncul sebagai pemenang acara Automobile All-Stars yang telah berlangsung pada bulan Mac yang lalu. Ia juga tercalon untuk anugerah 2018 Evo Car of the Year,” katanya ketika melancarkan model itu di sini, hari ini. 

BMW M2 Competition menggunakan enjin enam silinder sebaris dengan M TwinPower Turbo Technology yang mampu menjana 410 kuasa kuda (hp) pada 7,000 rpm, manakala tork puncak 550 Nm pada 2,350 hingga 5,230 rpm, iaitu 85 Nm lebih tinggi berbanding model terdahulu.

Ia mampu memecut dari kelajuan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 4.2 saat dan kelajuan tertinggi mencecah 250 km/j.

Dilengkapi M Double Clutch Transmission tujuh kelajuan dengan Drivelogic, ia menggabungkan dua kotak gear secara efektif dengan setiap satu daripadanya memiliki klac yang tersendiri dan membolehkan penukaran gear dilakukan dengan lancar tanpa mengganggu aliran kuasa.

Dalam mod automatik serta manual, Drivelogic membolehkan pemandu memilih mana-mana program pemanduan yang ditetapkan: Comfort, Sport dan Sport+. 

Penambahbaikan yang lain meliputi sistem pelinciran, termasuk pelitup penakung minyak yang menghadkan pergerakan bahan pelincir ketika olahan pemanduan dibuat secara mengejut.

Sistem penyejukan BMW M2 Competition terbaharu juga diperkayakan dengan penyejuk minyak transmisi yang menjamin suhu pengoperasian ideal di atas jalan raya dan di litar lumba.

Buat julung kali, pemandu BMW M2 Competition terbaharu ini juga dapat menggunakan dua suis tetapan yang terletak di konsol sentral untuk mengubah perwatakan dan tetapan fungsi enjin, stering dan Drivelogic. 

Reka bentuk bahagian luaran BMW M2 Competition melihatkan peralihan yang halus daripada iterasi jentera sepertinya yang terdahulu.

Skirt hadapan baharu dengan salur masuk udara yang diubah suai mengoptimumkan saliran udara ke komponen sistem penyejukan yang canggih, sambil menambah baik keterampilan visual jentera ini.

Gril ‘kidney’ BMW yang lebih besar hadir dalam warna hitam berglos tinggi, begitu juga dengan insang sisi di sayap hadapannya untuk mewujudkan profil serba ‘sporty’ yang tersendiri untuk jentera ini.

Di samping itu, kenderaan ini turut dilengkapi dengan lampu hadapan LED yang klasik. BMW M2 Competition terbaharu juga didatangkan dengan sistem ekzos baharu yang dikemas kini.

Hadir dalam reka bentuk dwicabang, ia menampilkan komponen peredam bunyi serta empat paip ekzos, dalam warna krom hitam, menandakan entitinya sebagai sebuah model jentera BMW M.

Dua flap yang dikawal secara elektrik memastikan BMW M2 Competition berupaya untuk menyampaikan nada BMW M yang tersendiri, pemandu boleh mengawalnya dengan memilih mod pemanduan menggunakan M Dynamic Performance Control – dengan menekan suis tetapan di konsol sentral.

Sementara itu, ciri bantuan pemandu ditawarkan dalam bentuk Kawalan Luncur (Cruise Control) dengan fungsi pembrekan pintar serta Kawalan Jarak Parkir (Park Distance Control) di bahagian hadapan dan belakang untuk membantu pemandu memarkir dan membuat olahan. 

BMW M2 Competition baharu ditawarkan dengan warna putih (Alpine White), hitam metalik (Black Sapphire Metallic), biru metalik (Long Beach Blue Metallic) atau perak metalik (Hockenheim Silver Metallic) yang digandingkan dengan upholsteri ‘Black Leather Dakota’ bersama sulaman warna kontras biru, atau dalam warna oren metalik (Sunset Orange Metallic) yang digandingkan dengan ‘Black Leather Dakota’ bersama sulaman warna kontra oren.

BMW M2 Competition terbaharu akan tersedia di semua premis wakil pengedaran BMW yang bertauliah di seluruh negara bermula hari ini.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan bersama penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Perbatuan Tanpa Had Bertempoh lima Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW) BMW M2 Competition yang terbaharu ialah RM626,800.

Berita Harian X