Khamis, 4 Julai 2019 | 6:42pm
Memenuhi keperluan sebuah SUV, keluarga. - NSTP/Azhar Ramli

Penangan kuasa Hyundai Tucson

Hyundai Tucson sememangnya kenderaan utiliti sukan (SUV) yang tidak pernah mengecewakan, baik dari segi ruang, mahupun prestasi.

Dengan reka bentuk menarik, pemanduan lancar dan ruang kabin selesa, ia sudah cukup untuk keluarga sederhana besar memilih Tucson sebagai kenderaan menempuh perjalanan jauh ataupun dekat.

Pandu uji BH Auto minggu ini mengetengahkan model Tucson 20.L Elegance yang menjadi SUV pilihan kepada penulis dan menjadi penanda aras kepada segmen berkenaan.

Model keluaran Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) menonjolkan gaya yang cukup menarik dari segi rekaannya yang dipertingkatkan dari model terdahulu.

Ternyata jentera buatan Korea Selatan turut memiliki kehebatan sama dengan jentera buatan Jepun yang biasa kita dengar apabila berbicara cerita mengenai SUV.

Kehadirannya sudah pasti memenuhi permintaan pengguna yang ingin beralih daripada kategori sedan kepada SUV.

Lebih menyerlah

Malah, rekaan baharu Tucson ini kelihatan moden dan tidak terlalu futuristik, terutama bahagian hadapan serta garisan lurus pada tepinya.


Tucson 2.0 Elegance ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM123,888. - NSTP/Azhar Ramli

Papan pemuka dengan rekaan semula paparan infotaimen tujuh inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. - NSTP/Azhar Ramli

Wajahnya tampak lebih menyerlah menerusi penambahbaikan yang ditampilkan iaitu bampar baharu, gril perak metalik dan lampu utama projektor halogen serta dipadankan dengan roda 17-inci.

Menjengah bahagian kabin, papan pemuka kini lengkap dengan rekaan semula paparan infotaimen tujuh inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay yang diposisikan di atas corong udara rekaan baharu.

Selain itu, ia turut menampilkan rekaan baharu bagi balutan kulit pada tempat duduk.

Aspek keselamatan pula, kedua-dua varian Tucson ini didatangkan dengan ABS dengan EBD, Kawalan Kestabilan Elektronik, Kawalan Mula Mendaki, Kawalan Brek Turun Bukit, Bantuan Brek dan Pengurusan Kestabilan Kenderaan.

Dari segi rangkaian kuasa pula, Tucson 2.0L Elegance pula mencetuskan kuasa 155PS pada 6,200 rpm dan tork 192Nm pada 4,000 rpm.

Ia menawarkan kelancaran tenaga berterusan dengan transmisi 6-kelajuan automatik serta keselesaan melalui penggunaan gandar hadapan McPherson Strut dan belakang daripada Multi Link.

Ruang luas dan selesa

Antara kelebihan SUV ruang dalaman luas terutama untuk penumpang belakang dengan fungsi kerusi boleh dijatuhkan 60:40 bagi kesesuaian membawa muatan yang panjang atau peralatan aktiviti rekreasi seperti basikal.


Hyundai Tucson melalui penambahbaikan dari segi reka bentuk yang lebih menonjol. - NSTP/Azhar Ramli

Malah ia juga boleh dilaras agar tidak terlalu tegak bagi penumpang.

Panel meter kluster analog dan TFT mono LCD bersaiz 3.5 inci untuk maklumat perjalanan dan kenderaan antara ditawarkan untuk kemudahan pemandu dengan roda stereng serta fungsi kawalan audio disertakan.

Secara keseluruhan, pada pandangan penulis, model ini mempunyai kelebihan tersendiri terutama kepada mereka yang meminati SUV lima tempat duduk yang ‘up-to-date’.

Tangki bahan api 62 liter menawarkan jarak perjalanan sehingga 580 kilometer (km) bergantung kepada corak pemanduan, ciri keselesaan keseluruhan penumpang, ruang dalaman fleksibel serta rekaan luaran ciri sporty menjadi kelebihan model Hyundai Tucson baharu ini.

Tucson 2.0 Elegance ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM123,888. HSDM truut menawarkan jaminan lima tahun atau 300,000 kilometer (yang mana tiba dulu) serta tiga tahun atau penyelenggaraan servis percuma 50,000 kilometer (yang mana tiba dulu).

Model ini ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu Putih Cream, Perak Plantinum, Biru Dusk dan Hitam Phantom.


- NSTP/Azhar Ramli

Info: Hyundai Tucson 2.0L Elegance

• Harga atas jalan tanpa insurans RM123,888

• Enjin 2.0 MPI DOHC petrol

• 155 PS @ 6,200 rpm

• Tork maksimum 192Nm @ 4,000 rpm

• Beg udara hadapan, sistem brek anti-kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Bantu Mula-Bukit (HAC), Kawalan Brek Menuruni Bukit (DBC), Sistem Bantu Brek (BAS) dan Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM)

Berita Harian X