Isnin, 22 Julai 2019 | 10:26pm
Reka bentuk enduro klasik dengan komponen moden. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Guzzi V85TT: Konsep kembara tulen

JIWA penunggang yang gemar mengembara lazimnya mengimpikan motosikal pengembaraan yang tulen dengan konsep tulen yang mewujudkan simbiosis sempurna antara penunggang dan motosikalnya.

Ia untuk membolehkan dia meneroka lokasi mencabar dan unik tanpa had. Konsep yang cuba diketengahkan Moto Guzzi menerusi V85 TT adalah satu dedikasi kepada penunggang yang meletakkan jari di atas peta dan menunggang tanpa henti meskipun berakhirnya jalan bertar.

BH Auto berpeluang menunggang uji model Enduro Klasik genre pengembaraan sumbangan pengedarnya di Malaysia iaitu Didi Resources Sdn Bhd baru-baru ini.

Ia adalah generasi terbaru motosikal jelajah keluaran jenama Itali ini yang difahamkan bagi menggantikan Stelvio 1200.

Dari segi penampilan, reka bentuknya adalah pertembungan antara gaya tradisi motosikal lasak dengan komponen terkini dan moden, justeru menjadikan ia agak unik.


Di belakang pula tersedia rangka tabular yang berfungsi sebagai pemegang pannier dan top box. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Reka bentuk unik

Dilengkapi dengan pelbagai instrumen digital berserta sepasang lampu depan-belakang LED bulat dengan logo Moto Guzzi sebagai lampu LED DRL jelas sangat menarik.

Tangki petrol 23 liter, berbungkus fiber dan plastik bersegi membuatnya tampak lebih gagah.

Di belakang pula tersedia rangka tabular yang berfungsi sebagai pemegang pannier dan top box.

Model ini juga dibangunkan dengan casis tralis yang lebih ringan dan membuat dimensi nampak lebih ringkas.

Posisi motosikal ini juga direka agak ke bawah, untuk membuat titik berat lebih rendah bagi membolehkan ia dikendalikan dengan lebih baik dan mudah.

Enjin berkuasa

Sama seperti barisan model Moto Guzzi lain, V85 TT dilengkapi enjin ikonik konfigurasi V-Twin 90 darjah melintang. Namun begitu, paling menarik adalah penggunaan titanium bagi injap masukkan yang besar iaitu 42.5 milimeter (mm) meskipun mengekalkan injap ekzos keluli 35.5mm.

Enjin Overhead Valve (OHV) atau enjin pushrod yang beroperasi dengan rod piston aluminium ini, ternyata lebih ringan dan senyap berbanding enjin Moto Guzzi sebelumnya.

Blok enjin lebih kecil meningkatkan respon pendikit selain mengurangkan gegaran.

V85TT dijana enjin bersesaran 853cc dengan kuasa 80hp pada 7,750 rpm dan tork 80Nm pada 5,000 rpm dengan teknologi suntikan bahan api dan transmisi klac manual 6-kelajuan.

Keunikan mesin V-Twin Moto Guzzi juga memberikan sensasi goyang ke kiri dan kanan ketika dalam posisi lega adalah sesuatu menyeronokkan.

Ketika BH Auto menunggang, halajunya sudah mencapai 100 kmj meskipun putaran enjinnya belum mencecah 4,000 rpm. Ini sangat rendah.

Pecutan agak mendatar pada permulaan dan keseronokan tork yang kencang adalah ketika putaran rpm antara 4,000 hingga 5,000. Terasa seperti terapung di udara. Tidak terfikir tork sekuat itu pada rpm sedemikian dan tenaga puncaknya tepat pada putaran 7,750 rpm.

Kapasiti tangki minyak 23 liter memberikan tunggangan sehingga 400 kilometer.


Paparan pada meternya TFT 4.5 inci dengan ambient light adaptif, sesuai untuk siang atau malam. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Komponen canggih

Meskipun reka bentuk retro, namun ia dilengkapi komponen berteknologi terkini.

Paparan pada meternya TFT 4.5 inci dengan ambient light adaptif, sesuai untuk siang atau malam.

Matlumat yang disediakan juga lengkap seperti speedometer, takometer, odometer, gear, meter minyak, jarak tunggangan, mod tunggangan (Road, Rain, Off Road) dan banyak lagi.

Ia menggunakan teknologi Ride by Wire yang mengawal buka-tutup pendikit Dell Orto 52 mm menerusi unit kawalan Marelli 7SM2.

Pada mod road, fungsi kawalan cengkaman (TC) dan sistem ABS beroperasi secara sederhana sesuai untuk tunggangan lancar di jalan raya

Sementara itu, pada mod rain, sistem TC dan ABS akan menjadi lebih aktif dan sensitif, untuk menghindarkan gelinciran roda belakang.

Pada mod off road, TC menjadi kurang sensitif dan ABS pada roda belakang secara automatik menjadi tidak aktif.

Secara keseluruhan, V85 TT memiliki keunikan tersendiri pesaingnya dan amat sesuai untuk peminat motosikal jelajah kelas menengah.


Keunikan mesin V-Twin Moto Guzzi juga memberikan sensasi goyang ke kiri dan kanan ketika dalam posisi lega adalah sesuatu menyeronokkan. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Spesifikasi Moto Guzzi V85 TT

Harga: RM87,888 (asas), RM89,888 (grafik evocative)

Enjin: V-Twin 90 darjah melintang, penyejukan udara, OHV, 2 injap setiap silinder.

Bore x Strok: 84.0 x 77.0mm

Sesaran: 853cc

Transmisi: 6-kelajuan

Tarikan: Shaft

Kuasa: 80hp (59 kW) pada 7,750 rpm

Tork: 80nm pada 5,000 rpm

Ketinggian: 830mm

Berat: 208 kg

Berita Harian X