Ahad, 4 Ogos 2019 | 8:43pm
Festival TGR bakal gegar empat lokasi mulai September. - NSTP/Aizuddin Saad

Festival TGR musim 3 bermula September

KUALA LUMPUR: Jenama Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) semakin dekat dengan rakyat Malaysia dan kini ia bakal memasuki musim baharu dengan pelbagai aktiviti lebih menarik.

Sambutan meriah Festival TGR dua musim lalu menyaksikan UMW Toyota Motor Sdn Bhd meneruskan acara untuk musim ke-3 bermula September ini.

TGR musim ke-3 bakal menyaksikan empat pusingan menerusi lapan perlumbaan yang amat dinanti-nantikan peminat, Toyota Vios Challenge yang akan bermula di Terengganu sebelum berakhir di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Bagi perlumbaan Vios Challenge, musim baharu masih mengekal tiga kelas perlumbaan iaitu Promotional, Sporting dan Super Sporting.

Perlumbaan musim ke-3 tidak hanya terhad di atas litar, malah turut merangkumi perlumbaan secara maya menerusi siri Gazoo Racing Velocity E-Sport yang mula diperkenalkan sejak September tahun lalu.

Janji lebih menarik

Antara elemen baharu Festival TGR untuk peminat sukan permotoran dan kereta adalah Gazoo Racing Outlet yang akan mempamerkan barisan model istimewa dan diinspirasikan dari perlumbaan Toyota termasuk Gazoo Racing Supra.

Timbalan Pengerusi UMW Toyota, Akio Takeyama, berkata Festival TGR tidak hanya menjadi platform menjual lebih banyak kereta, malah adalah untuk meraikan kejayaan Toyota dan Gazoo Racing dalam sukan permotoran global.

“Dengan TGR, hala tuju global Toyota menjangkaui had menerusi pembabitan dalam sukan permotoran dan menterjemahkan usaha membangunkan produk lebih baik dan keupayaan dan kreativiti,” katanya selepas majlis pelancaran media TGR Petaling Jaya, baru-baru ini.

Turut hadir, Presiden UMW Toyota, K Ravindran.

Untuk Vios Challenge khusus ya kelas Promotional, dua selebriti baharu akan berentap iaitu Shafq Kyle dan Ain Endruce untuk bersaing dengan artis lain seperti Shukri Yahya, Shawn Lee, Nabil Ahmad, Khai Bahar, Nabila Razali, Wany Hasrita, Janna Nick dan Diana Danielle.

Antara penaja TGR musim ke-3 termasuk Toyo Tires, Denso, TRD Asia, Moty’s, Enkei, M7 dan Toyota Capital Malaysia.

Festival TGR musim lalu berjaya menarik 80,000 peminat dan 1.1 juta penonton dalam talian.

Berita Harian X