Khamis, 22 Ogos 2019 | 12:59pm
Proton Saga 2019 diperkenalkan sempena majlis perasmian Proton Saga 2019 di MATIC, baru-baru ini. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

PROTON satu-satunya pengeluar catat pertumbuhan jualan

KUALA LUMPUR: PROTON muncul satu-satunya pengeluar kenderaan yang mencatatkan momentum positif jualan tahunan setakat tahun ini, dengan pertumbuhan enam peratus tahun ke tahun.

MIDF Research dalam nota sektor automotifnya berkata, prestasi PROTON itu diambil daripada konteks angka jualannya yang lemah tahun lalu apabila jualan keseluruhan industri (TIV) 64,744 unit tahun lalu adalah yang terendah dalam tempoh sekurang-kurangnya sedekad lalu.

Ia berbanding angka tertinggi atau hampir tertinggi yang dicatatkan oleh Perodua, Honda dan Mazda, yang sebahagiannya dipacu oleh insentif cuti cukai dari Jun hingga Ogos 2018, katanya.

“Secara keseluruhan, kereta nasional masih lagi mengatasi prestasi industri, dengan penguasaan pasaran bersama 56.1 peratus, berbanding 46.6 peratus tahun lalu,” katanya.

TIV bagi Julai 2019 mencatatkan penguncupan 26 peratus kepada 50,853 unit, berikutan asas yang tinggi tahun lalu.

Ia bulan kedua TIV mencatatkan penguncupan susulan TIV Jun yang susut 34 peratus.

Namun berbanding Jun, TIV mencatatkan pertumbuhan bulanan 19.6 peratus berikutan bulan bekerja yang lebih panjang.

Selain itu, kilang kebiasaannya ditutup semasa Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada Jun lalu.

Secara keseluruhan, TIV tahunan Perodua menguncup 16.4 peratus, Toyota susut 38 peratus, Honda jatuh 41 peratus, Nissan turun 39.4 peratus, Mazda merosot 16.5 peratus manakala jenama lain turun 39.2 peratus.

Perkongsian pasaran PROTON turut menyaksikan peningkatan kepada 16.9 peratus pada Julai daripada 11.8 peratus pada Jun, dengan Perodua kekal di tangga teratas dengan 39.2 peratus pada Julai daripada 34.8 peratus.

Bagi kereta asing yang mencatatkan prestasi terbaik, penguasaan pasaran Honda dan Toyota masing-masing susut daripada 18.7 peratus dan 13.3 peratus kepada 14.8 peratus dan 11.1 peratus.

Sementara itu, Kenanga Research dalam notanya berkata, pertumbuhan positif PROTON disokong oleh model X70 yang popular dan disokong oleh model Iriz, Persona dan Exora yang berwajah baharu.

Firma penyelidikan itu berkata, PROTON adalah satu-satunya syarikat automotif yang mencatatkan pertumbuhan berbanding tahun lalu, yang disebabkan oleh cukai sifar.

“Kami mengekalkan sasaran TIV 2019 kami pada 600,000 unit, sejajar dengan sasaran Persatuan Automotif Malaysia (MAA),” katanya.

Berita Harian X