Khamis, 22 Ogos 2019 | 3:17pm
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedez Benz Malaysia, Dr Claus Weidner (kanan) dan Naib Presiden Pengeluaran Kilang Mercedez Benz Malaysia, Patrick Baur melihat model keluaran terbaru Mercedez Benz di Kilang Mercedes-Benz, Peramu, Pekan. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Mercedes-Benz Malaysia tinjau eksport Asia Tenggara

PEKAN: Mercedes-Benz Malaysia (MBM) sedang meninjau peluang potensi mengeksport model Mercedes-Benz di pasaran Asia Tenggara, sekali gus meluaskan capaian perniagaannya.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Claus Weidner, berkata pengeluar rangkaian model premium dari Jerman itu sedang membuat kajian terperinci mengenai peraturan dan undang-undang membabitkan aktiviti eksport di beberapa negara di rantau ini sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Kami akan melihat pertumbuhan permintaan di negara di Asia Tenggara selain beberapa keperluan lain termasuk peraturan kerana setiap negara memiliki piawaian untuk sektor automotif tersendiri.

“Kami akan kaji setiap peluang yang ada di negara berkenaan kerana dari segi pengeluaran, MBM memiliki keupayaan di kemudahan Pekan, Pahang,” katanya kepada media sempena majlis ulang tahun ke-15 pengeluaran Mercedes-Benz di Malaysia dekat sini, hari ini.

Hadir sama ialah Naib Presiden Pengeluaran MBM, Patrick Baur dan Ketua Jualan dan Pemasaran MBM, Michael Jopp.

MBM meraikan pencapaian bersejarah di Malaysia apabila mengeluarkan 100,000 unit kereta Mercedes-Benz di Malaysia menerusi kemudahan di Pekan.

Sementara itu, Weidner berkata, MBM akan mengeksport model pemasangan tempatan (CKD) pertamanya, Mercedes-Benz C Class pemanduan sebelah kiri ke Filipina bermula bulan ini, kilang pengeluaran pertama yang berbuat demikian di rantau ini.

“Untuk Filipina, kami akan mengeksport model pemanduan sebelah kiri C 180 yang dipasang di kilang Mercedes di Pekan. Pasaran Filipina menawarkan pertumbuhan permintaan yang positif untuk segmen kenderaan premium ketika ini.

“C 180 pemanduan sebelah kiri mendapat kelulusan eksport dan standard yang ditetapkan pihak berkuasa Filipina. Untuk model lain, kami akan lihat keperluan dan permintaan,” katanya.

Beliau berkata, MBM juga mempertingkatkan penggunaan teknologi di kilang pengeluaran di Pekan sekali gus membuktikan komitmennya kepada industri automotif tempatan.

“Kilang pengeluaran di Pekan berkembang pesat dengan mengeluarkan 10,000 unit kereta Mercedes-Benz tahun lalu. Dengan peluasan barisan pengeluaran kita jangkakan jumlah lebih tinggi dapat diperoleh termasuk pengeluaran model CKD baharu pada masa depan,” katanya.

Sejak 2004, MBM sudah melabur kira-kira RM300 juta di Malaysia, sekali gus membuktikan bahawa Malaysia adalah pasaran penting kepadanya.

Berita Harian X