Isnin, 26 Ogos 2019 | 12:22pm
Perodua Bezza.

Perodua Bezza sedan bawah 1.0 liter terlaris Sri Lanka

KUALA LUMPUR: Perodua Bezza muncul sedan di bawah 1.0 liter yang paling laris di Sri Lanka.

Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2019, model itu menerajui kenderaan bagi kelas di bawah 1.0 liter dari segi jualan kenderaan baharu.

Dijual pada harga Rs3.69 juta (RM86,200) pada pelancarannya pada Jun 2017, kira-kira 1,500 unit Perodua Bezza dijual si Sri Lanka hingga kini, meletakkannya antara model jualan terpantas yang pernah ditawarkan Perodua di sana, bersama-sama Perodua Axia, yang kira-kira 3,000 unit dijual sejak 2015, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Sri Lanka adalah pasaran luar negara terbesar Perodua, di mana pengedar tempatan Unimo Enterprises menjual lebih daripada 15,600 kereta Perodua sejak 1997," katanya.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata PERODUA akan terus menyokong pengedar di luar negara memandangkan syarikat itu kini berkembang di rantau Asia Pasifik.

"Kami bekerja rapat dengan Unimo untuk memberikan pengetahuan produk dan latihan teknikal kepada kakitangan jualan dan perkhidmatan mereka, maka pelanggan Sri Lanka yang kami hargai dapat yakin dengan mengetahui bahawa Bezzas dan Axias mereka sentiasa berada di tangan yang terbaik," katanya.

Perodua berhasrat mengeksport 3,270 kereta tahun ini, 50 peratus lebih tinggi daripada 2,184 unit tahun lalu. - BERNAMA

Berita Harian X