Isnin, 26 Ogos 2019 | 6:48pm
Roslan (kiri) dan Sameer (tengah) pada majlis pelancaran MODENAS Power Store di Petaling Jaya, hari ini. - NSTP/Supian Ahmad

MODENAS sasar kuasai sehingga 50 peratus pasaran 'street bikes'

PETALING JAYA: Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) menyasar untuk meningkatkan penguasaan pasarannya dalam segmen motosikal jalanan (street bikes) kepada 40 peratus hingga 50 peratus dalam tempoh 18 bulan akan datang.

Pada masa ini, MODENAS yang juga anak syarikat DRB-HICOM Bhd itu menguasai lebih 30 peratus pegangan pasaran bagi segmen berkenaan.

Ketua Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan berkata, sasaran itu boleh dicapai dengan pembukaan kedai khusus bagi rangkaian model motosikal jalanan MODENAS yang pertama di negara dan rantau ini, MODENAS Power Store.

“MODENAS Power Store ini memberi peluang kepada kami untuk mengembangkan jenama kami kerana ia menawarkan pelanggan motosikal pusat sehenti bagi jualan dan servis motosikal khusus untuk segmen motosikal jalanan iaitu model MODENAS Pulsar dan Dominar.

“Selain menjadi pusat jualan, MODENAS Power Store juga menawarkan khidmat membaiki motosikal termasuklah kerja pembaikan utama serta servis motosikal dengan alat ganti tulen serta aksesori khas yang diperoleh dari seluruh rantau ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kedai berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden Perniagaan Antarabangsa Bajaj Auto Ltd, Sameer Deshpande.

Mengulas lanjut, Roslan berkata pihaknya juga merancang untuk membuka cawangan kedua MODENAS Power Store selepas 18 bulan cawangan pertama beroperasi.

“Kami perlu menyelesaikan dahulu beberapa isu seperti kepakaran, pemahaman produk dan mendapat output yang baik sebelum membuka cawangan kedua.

“Antara lokasi yang dipertimbangkan adalah di bandar besar seperti Pulau Pinang dan Johor,” katanya.

Roslan berkata, pihaknya juga yakin dapat mencapai sasaran jualan 10,000 unit motosikal jalanan yang ditetapkan tahun ini dalam tempoh dua bulan lagi.

“Sejak Modenas Pulsar dan Dominar dilancarkan, sehingga kini kami mendapat maklum balas yang amat baik terhadap kedua-dua model berkenaan.

“Justeru kami yakin segmen motosikal jalanan ini dapat mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Berita Harian X