Selasa, 27 Ogos 2019 | 9:18pm

Nasim lancar Peugeot 3008 SUV Plus dan Peugeot 5008 SUV Plus

PETALING JAYA: Nasim Sdn Bhd (Nasim), pengedar rasmi kenderaan jenama Peugeot di Malaysia, melancarkan dua model kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu iaitu Peugeot 3008 SUV Plus dan Peugeot 5008 SUV Plus.

Bagi model 3008, varian Active ditawarkan pada harga atas jalan RM150,888 manakala varian dengan spesifikasi lebih tinggi, Allure pada harga RM163,888.

Model 5008 turut ditawarkan varian Active dan Allure masing-masing pada harga RM166,888 dan RM179,888. Semua harga yang ditawarkan tidak termasuk insurans.

Antara pembaharuan yang ditampilkan dalam kedua-dua model baharu itu berbanding model sebelumnya ialah fungsi navigasi baharu yang kini dipasang di dalam skrin sesentuh warna pelbagai fungsi bersaiz lapan inci.

Kedua-duanya turut dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Maju seperti Driver Attention Alert, Speed Limit Recognition and Recommendation, kamera pandang belakang 180 darjah dan Sistem Informasi Titik Buta yang dinaiktaraf dan Active Lane Departure Warning.

Pelanggan boleh membuat pilihan dengan empat warna ditawarkan antaranya Emerald, Kelabu Amazonite, Hitam Nera, Putih Pearlescent dan warna baharu, Kelabu Aster.

Kedua-dua model turut didatangkan dengan jaminan lima tahun, Bantuan 24 Jam Peugeot dan keahlian SkyLouge By Naza di Subang Skypark.

Sementara itu Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza Corporation Holdings, SM Nasarudin SM Nasimuddin, berkata pelancaran kedua-dua model SUV baharu itu adalah kemuncak daripada kerjasama di antara Kumpulan Naza dan Groupe PSA menerusi penubuhan Naza Automotive Manufacturing (NAM) sebagai hab Asia Tenggara.

“Kami teruja untuk meraikan kejayaan ini dengan dua model terbaik Peugeot yang terus menerima sambutan menggalakkan daripada pengguna di dalam negara.

"NAM telah menerima banyak manfaat daripada peningkatan progresif sejak pembabitan Groupe PSA, termasuk kepakaran daripada pasukan perindustrian yang khusus dan pemindahan teknologi dari ibu pejabat syarikat berkenaan di Perancis.

“Kami teruja untuk memperkenalkan dua lagi SUV yang dikeluarkan oleh NAM untuk pengedaran tempatan dan eksport serantau dalam masa terdekat," katanya pada majlis pelancaran SUV berkenaan, di sini, malam ini.

Pada Februari 2018, Naza Corporation Holdings dan Groupe PSA memeterai jualan saham dan perjanjian kerjasama untuk menubuhkan perkongsian operasi secara rasmi di Gurun, sebagai hab pengeluaran pertama di ASEAN bagi Groupe PSA.

Ia menandakan permulaan operasi NAM mengembangkan jenama di bawah Groupe PSA seperti Peugeot, Citroen, DS dan Opel kepada rantau ASEAN.

Nasim, pengedar rasmi kenderaan jenama Peugeot di Malaysia, melancarkan dua model SUV baharu iaitu Peugeot 3008 SUV Plus dan Peugeot 5008 SUV Plus. - NSTP/Aizuddin Saad
Berita Harian X