Jumaat, 30 Ogos 2019 | 8:56pm
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Radzaif Mohamed (tengah) merasmikan pusat 3S PROTON yang telah diubah suai dan dinaik taraf, Autobinee Oriental Sdn Bhd.

Jualan PROTON meningkat 47 peratus setakat tahun ini

PULAU PINANG: PROTON setakat ini sudah menjual 52,269 unit kereta, 47 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Radzaif Mohamed, berkata

penambahbaikan rangkaian cawangan dan peningkatan kualiti produk telah menyumbang kepada pertumbuhan yang sangat memberangsangkan pada tahun ini.

“Kami telah mula melihat hasil daripada usaha. Prestasi positif yang dapat dilihat tahun ini adalah gabungan hebat dari kepelbagaian produk, kawalan kos yang baik, peningkatan kualiti dan strategi baharu bagi

rangkaian cawangan syarikat.

“Usaha ini telah membawa syarikat menduduki tempat kedua dari segi jualan kereta di Malaysia.

“Bagaimanapun, ini hanyalah permulaan kerana terdapat banyak lagi yang perlu dilakukan dan kami komited untuk memastikan jenama ini terus meningkat naik," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau hari ini merasmikan pusat 3S PROTON yang telah diubah suai dan dinaik taraf, Autobinee Oriental Sdn Bhd (Autobinee), dekat sini.

Cawangan ini yang menawarkan kemudahan jualan, servis dan alat ganti adalah

sebahagian daripada strategi rangkaian PROTON, yang dibina untuk menyediakan pengalaman pemilikan lebih baik kepada pelanggan.

Pelaburan sebanyak RM1 juta telah dikeluarkan untuk cawangan ini, dengan kawasan seluas 703 meter persegi serta dilengkapi empat ruang servis dan empat pengangkat.

Autobinee adalah antara pengedar terawal PROTON dan telah beroperasi sejak 1989.

Wilayah Utara adalah salah satu penyumbang utama kepada jumlah keseluruhan jualan PROTON.

Dari Januari hingga Julai tahun ini, wilayah ini telah mencatatkan jualan lebih daripada 9,800 kereta, peningkatan sebanyak 36 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Bagi Pulau Pinang saja, peningkatan lebih daripada 38 peratus telah dicatatkan berbanding tempoh sama tahun lalu.

Hampir keseluruhan daripada jumlah ini disumbangkan oleh penjualan Saga, Persona dan X70.

Berita Harian X