Ahad, 1 September 2019 | 3:15pm
CAWANGAN baharu Kawasaki Ninja Shop di Klang. NSTP/Faiz Anuar.

Labur RM1.5 juta buka tiga cawangan Kawasaki Ninja Shop

KLANG: Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (Kawasaki Motors) memperuntukkan pelaburan sebanyak RM1.5 juta bagi membuka tiga lagi cawangan baharu Kawasaki Ninja Shop.

Pengurus Besar merangkap Pengarah Kawasaki Motors, Datuk Jeffrey Lim Chee Sing, syarikat juga akan membuka tiga lagi Pusat Servis Eksklusif Kawasaki (PSEK) dengan pelaburan sebanyak RM1.5 juta.

“Kami menyasar untuk membuka cawangan baharu berkenaan di bandar-bandar utama, mungkin di Pulau Pinang dan juga Negeri Sembilan.

“Kawasaki akan menjalin kerjasama dengan pengedar terpilih bagi mengendalikan urusan operasi di kedua-dua kedai baharu itu.

“Operasi kedua-dua Kawasaki Ninja Shop dan PSEK itu haruslah diuruskan oleh pengedar yang sama,” katanya kepada BH selepas pembukaan cawangan terbaharu Kawasaki Ninja Shop dan pusat servis berkenaan di Klang.

Bagi cawangan baharu itu, Wah Motor Superbikes Sdn Bhd dilantik menjadi pengedar motosikal berklasifikasi tinggi jenama Kawasaki dan hadir sama pada majlis pembukaan itu adalah Pengarah Urusannya, Lee Chee Hoong.

Kawasaki Ninja Shop adalah kedai konsep tunggal yang menjual dan mempromosikan motosikal Kawasaki dan disokong oleh PSEK yang memenuhi kehendak servis selepas jualan pelanggan.

Chee Sing berkata, pelanggan boleh membeli motosikal Kawasaki di kedai berkenaan dan mendapatkan khidmat nasihat di pusat servis berkenaan di bawah satu bumbung.

“Kami percaya pendekatan eksklusif seperti ini akan meningkatkan imej Kawasaki ke paras yang lebih tinggi dan menjadi jenama premium di negara ini.

“Sehingga kini, kami sudah mempunyai 11 kedai konsep Kawasaki Ninja Shop di seluruh negara dan kami akan terus menjalankan usaha terbaik untuk memenuhi janji dan komitmen kepada pemilik motosikal Kawasaki,” katanya.

Berita Harian X