Jumaat, 27 September 2019 | 5:57pm
TIMBALAN Ketua Setiausaha (Industri) MITI, Datuk K Talagavathi (dua kiri) bersama Pengerusi DRB-HICOM Bhd, Datuk Mohammad Zainal Shaari (dua kanan), Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar (kanan), Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan (tengah), Naib Presiden Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), Datuk Tan Tien Chye (kiri) melancarkan dua model terbaru motosikal MODENAS KRISS 110 dan MODENAS Pulsar NS160 pada Majlis Pelancaran Dua model Terbaru MODENAS di Hotel Istana, Kuala Lumpur. NSTP/Mohd Yusni Ariffin

MODENAS perkenal KRISS 110, Pulsar NS160 bermula RM3,377

KUALA LUMPUR: Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) hari ini memperkenalkan dua model motosikal baharu iaitu KRISS 110 dan Pulsar NS160 dalam usaha menguasai pasaran kebih besar segmen dua roda.

KRISS 110 dijual pada harga RM3,377 dan Pulsar NS160 RM7,577 (atas jalan tanpa insurans) dengan dua tahun waranti atau 20,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar, berkata dengan pelancaran dua model motosikal baharu ini, MODENAS yakin akan dapat meningkatkan lagi pasaran bagi segmen motosikal moped dan street bike dari 3.0 peratus kini kepada enam peratus menjelang akhir tahun ini.


MODENAS Pulsar NS160 yang baru di lancarkan pada Majlis Pelancaran Dua model Terbaru MODENAS di Hotel Istana, Kuala Lumpur. NSTP/Mohd Yusni Ariffin


MODENAS KRISS 110 yang baru di lancarkan pada Majlis Pelancaran Dua model Terbaru MODENAS di Hotel Istana, Kuala Lumpur. NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Beliau berkata, model KRISS 110 akan menyemarakkan kembali populariti motosikal MODENAS seperti mana kali pertama dilancarkan pada 1996.

“KRISS 110 yang asal membuahkan satu kejayaan besar dengan lebih 800,000 unit terjual di seluruh negara.

“Kami percaya KRISS 110 baharu ini akan terus mengukir kejayaan dan mengekalkan nama baik motosikal ‘legenda’ ini seperti mana sekitar tahun 1997,” katanya.

Syed Faisal turut berharap varian Pulsar terbaharu itu mendapat sambutan hangat dan menyatakan bahawa ‘street bike’ yang dilancarkan pada tahun 2017 (Pulsar V15 dan Dominar) telah terjual lebih 10,000 unit.

“Ini adalah masa yang paling tepat bagi MODENAS. Pelancaran motosikal baharu ini yang menyasarkan dua segmen pasaran yang berbeza, iaitu segmen peringkat pengenalan dan pertengahan, akan memperluaskan lagi tawaran pasaran kami kepada berjuta penunggang motosikal di negara ini, secara tidak langsung akan terus mengukuhkan jenama MODENAS secara keseluruhannya,” katanya pada majlis pelancaran dua model motosikal berkenaan di sini, sebentar tadi

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk K Talagavathi dan Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan.

KRISS 110 yang turut diiktiraf Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) disasarkan kepada golongan dewasa muda yang ingin membeli motosikal pertama dan sebuah motosikal mampu milik yang mudah dikendali.

Tangki bahan api 4.2 liter mampu menjangkau perjalanan sehingga 200 km dan motosikal itu kini dilengkapi rim aloi 17 inci, ruang simpanan bawah tempat duduk serta reka bentuk lampu hadapan dan belakang sporty.

KRISS 110 menawarkan gaya premium tanpa harga yang tinggi dan memenuhi piawaian pelepasan Euro 3 sepenuhnya.

Ketinggian tempat duduk755 milimeter (mm) memastikan KRISS 110 adalah selesa bagi penunggang baharu.

Sementara itu Pulsar NS 160 adalah motosikal empat lejang ‘naked street bike’ dengan enjin suntikan bahan api DTSI yang disasarkan kepada golongan eksekutif muda dan yang ingin menaik taraf dari sebuah moped kepada street bike pertama mereka pada harga berpatutan.

Memaparkan enjin cam overhead tunggal dan menggunakan Sistem Suntikan Bahan Api BOSCH yang mampu menghasilkan 11.05 KW pada 8,500 rpm dan 13.99 Nm tork, enjin ini dilengkapi dengan kotak gear lima kelajuan.

Berita Harian X