Jumaat, 27 September 2019 | 7:41pm

PROTON gondol lima anugerah

KUALA LUMPUR: Strategi PROTON melancarkan lima model baharu dalam tempoh lapan bulan membuahkan hasil apabila berjaya meraih lima anugerah di majlis makan malam Gala Anugerah Pilihan Editor CarSifu kali keempat.

Proton X70, yang dilancarkan pada 12 Disember 2018, menang besar apabila model itu dinobatkan sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV)/Crossover Saiz Besar (dua barisan tempat duduk).

Ia menerima satu lagi anugerah iaitu sebagai Kereta Terbaik Malaysia 2019.

Model lain yang turut membawa pulang anugerah adalah Proton Exora untuk kategori ‘Best Family Ride’ (RM50,000 sehingga RM100,000, tiga barisan tempat duduk), Proton Iriz untuk ‘Best Compact Hatch’ (bawah RM70,000) dan Proton Saga untuk ‘Best Compact Sedan’ (bawah RM70,000).

Dengan kesemua model yang dipilih sebagai pemenang adalah daripada varian Premium, keputusan PROTON untuk melengkapkan model-modelnya dengan unit infotainmen pintar terbukti menjadi langkah yang bijak.

Dilengkapi dengan pengecaman suara untuk akses yang pantas ke aplikasi navigasi, muzik dan ramalan cuaca, ciri-ciri ini terbukti menjadi tarikan

utama dalam kalangan pembeli.

Malah, Proton Saga, model yang baru sahaja memasuki rangkaian PROTON turut dilengkapi skrin sesentuh tujuh inci terapung dalam varian Premium dan meskipun model berkenaan tidak mempunyai sistem sambungan yang sama, ciri-ciri itu turut menyediakan fungsi pencerminan untuk telefon bimbit Android yang membenarkan akses ke aplikasi kegemaran pengguna.

Faktor-faktor lain yang turut diambil kira oleh barisan juri CarSifu ialah reka bentuk baharu PROTON serta ciri-ciri keselamatan sedia ada dan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.

Bermula dengan Proton X70, satu rekaan baharu yang dipadankan pada setiap model PROTON iaitu ‘ethereal bow’ dan ‘infinite weave’ yang menjadi tema setiap rekaan.

Berita Harian X