Khamis, 31 Oktober 2019 | 4:27pm

Fiat, PSA bentuk pengeluar kereta keempat terbesar dunia

MILAN/PARIS: Fiat Chrysler dan pemilik Peugeot, PSA akan membentuk kerjasama melalui pertukaran saham 50-50 bagi mewujudkan pengeluar kereta keempat terbesar dunia.

Lembaga pengarah kedua-dua kumpulan sudah memberi mandat kepada pasukan masing-masing untuk memutamadkan perbincangan dan memeterai memorandum persefahaman dalam beberapa minggu lagi, kata kedua-dua pengeluar kereta dalam satu kenyataan bersama.

Pengerusi Fiat, John Elkann akan mempengerusikan gabungan kedua-dua kumpulan, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Peugeot (CEO), Carlos Tavares akan menjadi CEO baharu.

Persetujuan dicapai ketika pengeluar kereta berdepan dengan penurunan permintaan di peringkat global dan menyasarkan pembangunan teknologi moden serta model lebih bersih bagi memenuhi peraturan anti pencemaran yang semakin ketat.

Penggabungan itu, sebaik dimuktamadkan, dijangka menjana 3.7 bilion euro (RM17.25 bilion) dalam sinergi tahunan, tanpa menutup sebarang kilang, kata kedua-dua syarikat.

Sebelum perjanjian dimuktamadkan, Fiat akan membayar pemegang sahamnya dividen khas 5.5 bilion euro (RM25.65 bilion) dan menyerahkan saham dalam unit pembuatan robotnya, Comau.

Manakala, Peugeot akan mengagihkan 46 peratus kepentingan dalam pengeluar alat ganti kenderaan, Faurecia kepada pemegang sahamnya.

Menteri Kewangan Perancis, Bruno Le Maire, menyambut baik perjanjian itu, dengan berkata ia memberikan kedua-dua kumpulan pasaran kritikal yang diperlukan bagi melabur dalam teknologi bersih selain memenuhi cabaran industri.

Gabungan kedua-dua kumpulan itu, yang akan beribu pejabat di Belanda, bakal mempunyai 11 orang lembaga pengarah, dengan enam dari Peugeot termasuk Tavares manakala lima dari Fiat termasuk Elkann.

Sahamnya akan disenaraikan di Paris, Milan dan New York.

-Reuters

Berita Harian X