Isnin, 4 November 2019 | 1:19pm
KETUA BMW Motorrad Malaysia, Owen Riley (kanan) ketika memperkenalkan barisan motosikal premium BMW Motorrad di Sepang, hari ini.

BMW Motorrad perkenal S1000RR, R1250R, R1250RS

SEPANG: BMW Motorrad Malaysia memperkenalkan barisan motosikal premium baharu iaitu S1000RR, R1250R, R1250RS.

Ketiga-tiga varian itu ditawarkan pada harga bermula RM138,500 bagi S1000RR manakala R1250R dan R1250RS masing-masing ditawarkan pada harga bermula RM102,500 dan RM106,500.

Semua harga jualan adalah di atas jalan, tanpa insurans dan dengan Waranti Terbaharu Bertempoh Tiga Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan Bertempoh Tiga Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia.

Bagi S1000RR yang turut dikenali lagenda di atas litar lumba, ia didatangkan dengan komponen enjin dan suspensi yang melalui proses pembangunan yang komprehensif untuk kekal menjadi penanda aras dalam segmen motosikal kuasa tinggi, lengkap dengan reka bentuk serba sporty yang mengagumkan. 

Model generasi ketiga ini didatangkan dengan susun atur baharu pada rangka utamanya dikenali “Flex Frame”, di mana ia membentuk tangki bahan api yang tampak lebih langsing serta seksyen trim ruang tempat duduk untuk membekalkan keselesaan dan sokongan yang lebih baik, termasuk cengkaman untuk bahagian lutut penunggang.

Semua elemennya direka secara konsisten untuk memastikan prestasi optimum dapat dikecapi dalam apa juga situasi.

Sudut hadapan motosikal baharu ini memperlihatkan siluet yang langsing dan diperkemas dengan kombinasi seksyen hadapan yang rendah, ia menzahirkan sebuah penampilan yang tampak lebih ringan, dan serba atletik. 

Lengkap dengan rungkup yang pendek, tubuh jentera ini berkedudukan di antara roda dengan sepenuhnya, lantas membuahkan siluet Superbike yang paling ‘sporty’ pernah disaksikan.

Lampu hadapan yang terintegrasi menampilkan teknologi LED tanpa reflektor, ia menggabungkan cahaya rendah dan tinggi dalam satu elemen yang kompak.

Pakej M Sport pula melengkapi S1000RR baharu dengan Tempat Duduk M Sport yang eksklusif, serta lampu brek yang mempunyai spesifikasi negara, dan set roda gentian karbon “M” yang menyerlahkan lagi penampilan sporty jentera ini. 

Hadir dengan tahap prestasi yang baharu, S1000RR dikuasakan oleh enjin sebaris 4-silinder yang terkini.

Dengan enjin canggih berkapasiti 999 cc serta kuasa maksimum yang lebih tinggi iaitu 207 kuasa kuda (hp) pada 13,500 rpm dan tork puncak 113Nm pada 11,000 rpm.

Dengan jentera berkuasa ini, S1000RR mampu memecut pada kelajuan maksimum melebihi 200 kilometer sejam (km/j).

Bukan itu sahaja, S1000RR didatangkan dengan BMW ShiftCam Technology yang membekalkan variasi pemasaan injap serta lejang injap pada komponen salur masuk. 

S1000RR juga didatangkan dengan empat mod tunggangan standard iaitu “Rain”, “Road”, “Dynamic” dan “Race”.Lebih menarik, ia turut tampil dengan “Pro Modes” yang menawarkan tiga lagi mod tunggangan – “Pro 1”, “Pro 2” dan “Pro 3”.

Semuanya membolehkan adaptasi tersendiri ke atas fungsi kawalan seperti DTC, ABS Pro dan pengesanan “DTC Wheelie”, termasuk keluk pendikit (pelarasan tork) dan Brek Enjin.

Kawalan Pelancar (Launch Control) juga disediakan untuk memastikan kenderaan ini dapat dilancarkan dengan sempurna di litar lumba, berserta dengan “Pit Lane Limiter” yang dapat dikonfigurasikan untuk membolehkan kelajuan yang tepat dikecapi di laluan henti.

Penukaran gear tinggi dan rendah yang boleh dibuat dengan pantas tanpa klac disumbangkan oleh HP Shift Assistant Pro, yang juga ditawarkan sebagai standard. 

Panel instrumen S1000RR baharu turut disuaikan semula dengan ia menampilkan skrin TFT 6.5 inci yang menawarkan tahap kebolehbacaan yang tinggi – walaupun dalam situasi pencahayaan yang kurang sesuai.Ia dihubungkan dengan “Multi Controller” pada panel bar hendal di sebelah kiri dan ia boleh dioperasikan dengan segera, selamat dan mudah. 

Ia berasaskan rekaan dinamik yang menampilkan warna-warna BMW M.Pelet warna BMW Motorsport merangkumi “Racing Blue”, “Lightwhite” dan “Racing Red” yang menonjolkan DNA perlumbaan BMW M.

Beralih kepada R1250R dan R1250RS pula, dua model ini tampil dengan kuasa enjin ‘boxer’ yang dibangunkan semula secara signifikan untuk membuahkan kuasa dan tork lebih tinggi.

Rangkaian kuasa dengan kapasiti 1,254 cc mampu menjana output mencecah 136 hp pada 7,750 rpm serta tork puncak 143Nm pada 6,250 rpm. Enjin baharu ini menawarkan kadar emisi yang ditambah baik, ia merekodkan 110 g/km, serta tahap penggunaan bahan api berjumlah 4.75 liter bagi setiap 100 km.

Kesinambungan dengan profil bunyi yang benar-benar memuaskan, BMW ShiftCam Technology digunakan buat pertama kali, yang mana ia membekalkan variasi pemasaan injap serta lejang injap pada komponen salur masuk. 

Bagi BMW R 1250 R, ia hadir dengan reka bentuk Style HP yang rapi, memperlihatkan kualiti jentera Roadster yang lasak bersama kombinasi warna Lightwhite, Racing Blue dan Racing Red.

Lightwhite mewarnai rangka utama, pelitup roda hadapan serta ia digarapkan dengan grafik pada elemen trim di bahagian sisi tangki bahan api, serta di seksyen belakang.

Kontras yang tulen diberikan oleh rangka utama dalam warna matte hitam serta set roda tuangan yang disadur dalam warna hitam “Night Black”.

Keterampilan serba sporty diserlahkan lagi melalui tiub gelangsar fork (fork slider) bersadur material perak, angkup brek emas, dan spoiler enjin digubah menggunakan keluli tahan karat. 

R1250RS pula hadir dengan “Style Exclusive” yang menampilkan kemasan yang elegan pada bahagian tubuhnya dalam warna biru “Imperial Blue”.

Kepala silinder melitupi rangka utama dalam warna kelabu matte “Agate Grey” yang membuahkan kontras yang lebih tajam. 

R1250R dan R1250RS turut dilengkapi dengan "Riding Modes Pro” yang menampilkan mod tunggangan tambahan, “Dynamic” dan “Dynamic Pro”, serta Kawalan Cengkaman Dinamik (Dynamic Traction Control atau “DTC”) yang membekalkan kadar pecutan yang lebih efisien dan selamat.

Kawalan Brek Dinamik (Dynamic Brake Control) yang yang ditampilkan juga menawarkan ciri keselamatan tambahan ketika membrek dengan mengelakkan pecutan secara tidak sengaja daripada diaktifkan. 

Kedua-dua jentera itu kini membawakan “Connectivity” sebagai kelengkapan standard, sebuah kluster instrumen multifungsi dengan skrin TFT 6.5 inci berwarna penuh.

Menerusi BMW Motorrad Multi-Controller, ia bermakna penunggang boleh mengakses fungsi kenderaan dan keterhubungan dengan segera dan mudah.

R1250R dan R1250RS turut dilengkapi dengan fungsi Tunggangan Tanpa Kunci (Keyless Ride) agar para pengguna dapat mengamati sebuah pengalaman yang serba baharu dan menyenangkan. 

Dengan pelancaran tiga varian ini, BMW Motorrad melengkapkan perungkaian enjin 1,250 cc yang baharu dengan BMW ShiftCam Technology ke dalam pasaran.

Berita Harian X