Selasa, 12 November 2019 | 4:54pm
Mazda CX-3 SUV. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Mazda CX-3 SUV. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

SUV Crossover paling menawan

Mazda CX-3 kekal menjadi idaman tidak kira anda seorang wanita mahu pun lelaki.

Dengan rekaan kenderaan utiliti sukan (SUV) crossover paling menonjol, ia pasti menerbitkan kepuasan apabila memiliki model kecil tapi berkuasa ini.

Tidak dinafikan dalam banyak-banyak SUV crossover, Mazda CX-3 menjadi antara pilihan teratas kepada penulis.

Penulis dapat berasakan pandangan ini bukan bersifat individu, malah tidak keterlaluan ia juga menjadi pilihan rakyat Malaysia yang mahukan kereta lebih kompak dan menawan.

Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji model Mazda CX-3 versi dinaik taraf 2018 yang tampil dengan rekaan KODO, yang sememangnya menjadi identiti MAZDA dalam membangunkan model keluarannya.


Mazda CX-3 SUV. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pastinya, gaya dan rekaan luaran yang ditampilkan menerusi Mazda CX-3 ini membuatkan ramai terliur pada pandangan pertama, apatah lagi dengan badan yang kompak dan 'solid', ia sangat sesuai dengan keperluan jiwa muda tidak kira lelaki atau wanita.

Menggunakan enjin SKYACTIVG 2.0 liter, empat silinder sebaris, DOHC 16 Valve, ia mampu menghambur 154 kuasa kuda (hp), manakala tork puncak 206 Nm.

Dengan susuk badan kecil, rangkaian kuasa yang disalurkan enjin menjadikan Mazda CX-3 lebih lincah dan tahap responsif juga amat memberangsangkan, sesuai untuk jiwa 'muda' pemandu.

Mazda CX-3 menampilkan gaya yang padat, dengan bahagian hadapannya ditampilkan dengan gril yang sedikit lebar dengan bingkai krom di sekeliling, yang bersambung pada lampu utamanya.

Dari segi gaya luaran, Mazda CX-3 terkini terserlah menerusi gril krom kembar baharu, lampu kabus gelap, rekaan lampu belakang mirip CX-5 dan rim aloi 18-inci baharu.


Mazda CX-3 SUV. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Meskipun, tiada ciri bumbung suria, versi terkini SUV crossover ini tampil dengan ciri keselamatan Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA) dan Pemantauan Titik Buta (BSM).

Memasuki ruang kabin, Mazda CX-3 baharu ini menerima beberapa pembaharuan seperti corong pendingin hawa dengan jalur merah serta terdapat kemasan ala suede di panel papan pemuka.

Konsol tengah turut diubah dengan butang brek parkir elektronik (dengan Auto Hold), dan suis pemilih Sport Mode serta tombol kawalan MZD Connect diposisikan semula.

Yang turut disertakan ialah perehat tangan dengan ruang simpanan barang di bawahnya, serta perehat tangan baharu di bahagian tengah untuk penumpang belakang dengan tempat letak cawan padanya.

Menambah keselesaan kepada pengguna, kadar NVH CX-3 ini turut diperbaiki dengan penggunaan panel pintu, cermin luar serta lapik bumbung yang lebih tebal.

Bagi aspek keselamatan, Mazda CX-3 dilengkapi dengan kawalan kestabilan elektronik DSC, kawalan cengkaman, ABS dengan EBD dan Bantuan Brek, enam beg udara, syarat Kecemasan Berhenti (ESS), dan Bantuan Mula Mendaki (HSA).


Mazda CX-3 SUV. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Dari segi penggunaan bahan api pula, Mazda CX-3 menawarkan kecekapan yang baik iaitu sekitar tujuh liter bagi setiap 100 kilometer (km).

Aspek penting lain yang terdapat pada CX-3 seperti lampu utama LED automatik, lampu kabus hadapan dan lampu belakang, kemasukan tanpa kunci, butang pemula enjin, tempat duduk pemandu dengan larasan kuasa 10-hala bersama memori dan bilah pengelap cermin automatik.

Selain itu, ia lengkap dengan pendingin hawa zon-tunggal automatik, paparan head-up display berwarna, paddle shifter, cruise control, sistem infotainmen MZD Connect dengan skrin sentuh tujuh-inci, sistem navigasi GPS, enam-pembesar suara dan kamera undur.

Mazda CX-3 juga dilengkapi dengan lima tahun waranti bersama tiga tahun servis percuma termasuk kos upah, alat ganti dan minyak pelincir.

Ia ditawarkan dengan enam pilihan warna, iaitu Soul Red Crystal, Ceramic Metallic, Machine Grey, Deep Crystal Blue, Jet Black Mica dan Snowflake White Pearl.

Lampu utamanya pula kelihatan lebih langsing dengan padanan LED, berbanding dengan reflektor halogen.

Malah, ia juga didatangkan dengan fungsi automatik on/off, sistem pencahayaan hadapan adaptif yang membantu memberikan lebih pencahayaan sewaktu kenderaan melalui selekoh, larasan automatik dan lampu nyalaan siang LED.


Mazda CX-3 SUV. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Di bawah lampu utama, lampu kabus LED dan indikator isyarat juga ditempatkan, dan kemudian di bahagian bawahnya kelihatan kekemasan kepingan hitam berkilat menambahkan lagi gayanya.

Pengaruh KODO juga jelas kelihatan menerusi garisan badan dari hud bahagian hadapan sehingga ke atas gerbang roda, merintangi kedua-dua cermin sisi dan bahagian bawah badan.

Ia turut memberikan kesan yang lebih sporty apatah lagi dengan padanan gerbang hitam pekat serta penampilan rim aloi lima jejari bersaiz 18 inci.

Menjengah di bahagian belakang, lampu belakang dengan LED turut menjadi pilihan, malah ia berbentuk lebih langsing berbanding Mazda 2.

Dengan harga atas jalan tanpa insurans bermula RM130,159, penulis pasti ia pelaburan berbaloi bagi mereka yang inginkan sebuah SUV crossover yang 'solid' dengan rekaan yang sentiasa segar dan sporty.

Jika wang bukan menjadi ukuran, pastinya Mazda CX-3 boleh berada dalam senarai teratas anda untuk memiliki sebuah kereta.


Mazda CX-3 SUV. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Info: Mazda CX-3 Harga atas jalan tanpa insurans RM130,159

  • Enjin SKYACTIV-G 2.0 liter, empat silinder sebaris, DOHC 16 Valve
  • 154 hp, tork 206 Nm
  • Saiz tangki minyak 48 liter
  • Penggunaan bahan api 7L/100km.
  • Berita Harian X