Selasa, 12 November 2019 | 5:10pm

Tata tinjau pakatan bersama Geely, BMW

LONDON: Tata Group, pemilik Jaguar Land Rover (JLR) terbuka untuk menjalinkan pakatan dengan pengeluar terkemuka bagi menjimatkan kos dan bebanan pelaburan untuk kereta elektrik.

Pengeluar termasuk Zhejiang Geely Holding Group Co (Geely) dan BMW AG dikatakan mahu bekerjasama dengan konglomerat terbesar India itu, kata sumber yang memiliki pengetahuan berhubung perkara itu.

Menurut sumber, perbincangan mengenai kerjasama dengan Geely dan BMW masih di peringkat awal, justeru Tata boleh meneroka kerjasama dengan rakan kongsi berpotensi lain.

Sumber berkenaan bagaimanapun tidak jelas mengenai penerimaan Geely dan BMW.

“Tiada sebarang rundingan dengan Tata atau JLR,” kata Geely dalam satu kenyataan.

BMW bagaimanapun enggan mengulas lanjut sebagaimana yang dilakukan Tata.

Sebarang pakatan dengan pengeluar automotif China itu mampu membantu JLR, yangbergelut untuk mendapatkan pelaburan berjumlah AS$3.9 bilion (RM16.1 bilion) awal tahun ini.

Kerjasama erat antara jenama mewah British dan BMW itu juga akan meneruskan pakatan sedia ada untuk membangunkan teknologi enjin dan pemacu elektrik.

Namun, pada Ogos lalu, bekas Ketua Eksekutif pengeluar Jerman itu menolak sebarang pelaburan ekuiti.

Skala menjadi semakin penting dalam industri automotif memandangkan pengeluar kenderaan memerlukan sumber untuk menghadapi cabaran elektrifikasi dan pemanduan autonomi.

Cabaran itu memberi kesan kepada peserta lebih kecil seperti JLR, yang komited kepada program bercita-cita tinggi untuk menawarkan varian elektrik bagi setiap model baharu bermula tahun depan.

Pengeluar kereta British itu adalah penggerak awal di kalangan pengeluar kenderaan menerusi model crossover I-Pace elektrik yang diperkenalkan tahun lalu.

Kemerosotan global yang menjejaskan pasaran utama menambah tekanan, meskipun terdapat banyak cabaran untuk menukar saingan sengit kepada kerjasama dengan kadar penyelesaian juga meningkat.

Tahun ini, Volkswagen AG, pengeluar kereta terbesar dunia bersetuju untuk bekerjasama dengan Ford Motor Co menerusi beberapa aspek termasuk elektrifikasi dan pemanduan autonomi.

Bulan lalu, PSA Group yang juga pemilik Peugeot, Opel dan Citroen juga bersetuju bergabung dengan Fiat Chrysler Automobiles NV untuk menjadi pengeluar keempat terbesar dunia dari segi jumlah.

Satu halangan berpotensi untuk mana-mana rakan kongsi JLR adalah isu kewangan pengeluar British itu.

Tata mula menangani isu berkenaan dengan menyediakan ekuiti berjumlah AS$910 juta (RM3.7 bilion) bagi membantu memacu lembaran imbangan JLR.

Di pasaran China, JLR bergelut dari segi kualiti dan isu pengedar, namun bulan lalu syarikat itu mendedahkan jualan kembali stabil sekali gus membantu mengecilkan kerugian syarikat induknya, Tata Motors Ltd.

Unit perniagaan dari British itu juga hampir memuktamadkan penjimatan 2.5 bilion pound (RM13.2 bilion) termasuk mengurangkan ribuan pekerja di seluruh dunia.

Tata Group mengambilalih pengeluar Jaguar XE sedan dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Land Rover Discovery pada 2008 dengan nilai AS$2.3 bilion (RM9.5 bilion)

Meskipun konglomerat itu terbuka untuk mewujudkan kerjasama untuk JLR, ia bagaimanapun tidak merancang untuk melupuskan unit berkenaan, kata Pengerusi Tata Sons Ltd, N Chandrasekaran dalam satu temubual bulan lalu.

- Bloomberg

Berita Harian X