Selasa, 12 November 2019 | 5:38pm
Perodua Axia STYLE membuat penampilan sulungnya di Sri Lanka menerusi Pameran Motor Colombo Seylan yang berlangsung di Bandaranaike Memorial International Conference Hall dari 8-10 November lalu.

Penampilan sulung Axia STYLE di Sri Lanka

KUALA LUMPUR: Perodua Axia STYLE membuat penampilan sulungnya di Sri Lanka menerusi Pameran Motor Colombo Seylan yang berlangsung di Bandaranaike Memorial International Conference Hall dari 8-10 November lalu.

Pengedar tempatan Perodua, Unimo Enterprises yang menerima tempahan untuk Perodua Axia STYLE di pameran berkenaan dengan penghantaran dijangka bermula awal tahun depan.

Varian Perodua Axia 2019 yang berunsurkan crossover itu ditawarkan dengan harga Rs3.895 juta (kira-kira RM89,000) di negara kepulauan itu.

“Sri Lanka adalah pasaran luar negara terbesar bagi jenama Perodua, di mana Axia disambut baik dengan kira-kira 3,000 unit dijual sejak 2015. Justeru, ia sesuai sebagai destinasi eksport pertama bagi Perodua Axia STYLE baharu ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Dilengkapkan dengan bumper yang tampil lebih lasak dengan elemen skid plate, cladding badan, moulding bumbung, spoiler belakang dan rim aloi lima-jejari 15-inci, Perodua Axia STYLE baharu mencerminkan gaya hidup aktif pemiliknya di samping mengekalkan semua kelebihan Axia seperti praktikaliti, kecekapan bahan api, ruang dalaman yang luas serta mudah dipandu.

Lebih 2,000 Perodua Axia STYLE menemui pemiliknya di Malaysia sejak pelancarannya pada September lalu, manakala Perodua Axia 2019 secara keseluruhan mencapai jualan lebih 10,400 unit daripada lebih 20,000 tempahan yang diterima setakat ini.

“Permintaan untuk SUV dan crossover sedang menyaksikan peningkatan di pasaran antarabangsa dan kami menjangkakan trend yang sama bagi Sri Lanka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Unimo Enterprises, Mahesh Gunathilake.

“Perodua Axia STYLE baharu ini menawarkan penampilan crossover yang aktif dan bergaya dalam satu pakej yang kompak, cekap bahan api, boleh dipercayai dan memberikan nilai yang baik. Kami percaya rakyat Sri Lanka akan menyukai kenderaan ini,” tambahnya.

Unimo Enterprises menjual hampir 16,000 kenderaan Perodua sejak 1997.

Pengedar itu kini menawarkan barisan model terdiri daripada Axia dan Bezza.

Perodua Bezza adalah sedan bawah 1.0 liter baharu yang terlaris di Sri Lanka.

Berita Harian X