Jumaat, 29 November 2019 | 5:38pm
MOTORSIKAL Vespa GTS 300 Super Sport di NAZA Premira Sdn Bhd. NSTP/Amirudin Sahib.
MOTORSIKAL Vespa GTS 300 Super Sport di NAZA Premira Sdn Bhd. NSTP/Amirudin Sahib.

Didi Resources kini pengedar rasmi Vespa di Malaysia

KUALA LUMPUR: Piaggio Group (Piaggio) sah melantik Didi Resources Sdn Bhd sebagai pengedar rasmi jenama Piaggio dan Vespa di Malaysia, sehari selepas Naza Premira Sdn Bhd mengumumkan pemberhentian operasi jenama skuter premium itu.

Piaggio dalam satu kenyataan, berkata Didi Resources akan menggantikan Naza Premira untuk mengendalikan jenama di bawah sayap perniagaannya di negara ini berkuatkuasa 1 Januari ini.

“Kami amat berterima kasih kepada Naza Premira di atas sokongan dan pembangunan jenama Vespa di Malaysia sejak 2010,” katanya.

PENGERUSI, Didi Resources Sdn Bhd, Rewi Hamid Bugo, ketika majlis menandatangani perjanjian persefahaman bersama Aprillia Network dan pembukaan rasmi pusat 3S di The Gasket Alley, Petaling Jaya. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
PENGERUSI, Didi Resources Sdn Bhd, Rewi Hamid Bugo, ketika majlis menandatangani perjanjian persefahaman bersama Aprillia Network dan pembukaan rasmi pusat 3S di The Gasket Alley, Petaling Jaya. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pengerusi dan Pengarah Besar Piaggio Vietnam merangkap Naib Presiden Eksekutif Dua Roda Asia Pasifik Piaggio, Gianluca Fiume, berkata pelantikan Didi Resources sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan kumpulan jenama Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi yang diletakkan di bawah entiti tunggal bagi memaksimumkan kecekapan.

“Dengan semua jenama Piaggio di bawah satu bumbung yang ditubuhkan di bawah konsep Motoplex, kami mampu menyediakan tawaran lebih baik kepada pelanggan berpotensi yang mahukan gaya, teknologi dan prestasi jenama dua roda Itali.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan Didi Resources untuk memacu jenama kami ke arah lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Didi Resources, Rewi Hamid Bugo dalam kenyataan sama berkata, dengan tambahan jenama bersama Aprilia dan Moto Guzzi, ia adalah satu pengiktirafan penting kepada syarikat itu untuk menguruskan jenama seperti Piaggio dan Vespa.

“Kami kini akan menguruskan Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi di bawah konsep ikonik Motoplex yang membawa prestij Piaggio ke pasaran Malaysia.

“Didi Resources akan memberikan komitmen tinggi untuk memperkukuhkan kedudukan jenama ini menerusi kaedah pemasaran intensif, menawarkan sokongan perkhidmatan selepas jualan khusus dan membawa pembabitan pelanggan untuk memperkemaskan kedudukan jenama bagi berdepan persekitaran dua roda yang kompetitif di Malaysia,” katanya.

Motoplex adalah model peruncitan inovatif bagi industri dua roda dan membolehkan pengimport dan pengedar memanfaatkan potensi jenama dan produk dalam premis sama.

Setiap cawangan Motoplex akan menawarkan jenama penuh Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi di lokasi sama, selain perkhidmatan servis, aksesori dan cenderamata serta hiburan ditawarkan di bawah satu bumbung.Dilancarkan sejak 2015, Piaggio memiliki 500 cawangan Motoplex di seluruh dunia merangkumi Eropah, Amerika, Oceania, Asia dan sub benua India.

Cawangan Motoplex sudah dibuka di beberapa bandar termasuk New York, Bangkok, Tokyo, Milan, Pune, Malta, Madrid, London, Berlin, Vienna, Lisbon, Stuttgart, Sydney, Jakarta dan Bali.

Bagi pasaran Malaysia, Motoplex sedang dalam perancangan pembangunan dan dijadualkan dilancarkan pada awal tahun depan.Semalam, Naza Premira mengesahkan penamatan operasi Vespa berkuatkuasa 1 Januari ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X