Selasa, 7 Januari 2020 | 4:26pm
SONY umum model kereta elektrik (EV) konsep dikenali sebagai Sony Vision-S. - Foto AFP
SONY umum model kereta elektrik (EV) konsep dikenali sebagai Sony Vision-S. - Foto AFP

Sony gemparkan industri automotif dengan pengenalan Vison-S

SESUATU yang menggemparkan berlaku Pameran Elektronik Konsumer (CES) di Las Vegas, apabila Sony yang terkenal sebagai pengeluar produk perkakas kediaman mengumumkan model kereta elektrik (EV) konsep dikenali sebagai Sony Vision-S.

Menurut laman web teknologi, The Verge, prototaip yang dipamerkan pada acara tahunan itu amat penting untuk membuktikan konglomerat teknologi Jepun itu memiliki kekuatan berbeza, dari produk hiburan hinggalah sensor kamera dan banyak lagi.

Malah, Vision-S memiliki 33 sensor berasingan dalam dan luar kereta, paparan skrin lebar berganda, audio 360 darjah serta ketersambungan berterusan dengan sebahagian dihasilkan oleh peserta industri seperti BlackBerry dan Bosch.

Menurut The Verge, Vision-S juga dikuasakan platform kenderaan elektrik rekaan baharu yang dilihat mendapat sentuhan pembekal automotif, Magna yang mana Sony menjelaskan ia berkemampuan untuk digunakan untuk menjana kenderaan lain seperti kenderaan utiliti sukan (SUV).

Dari segi luaran, model prototaip berkenaan menerima sentuhan Porsche, terutama di sekitar lampu depan, manakala bahagian sisi pula agak menyerupai Lucid Motors Air.

Menjengah ke dalam kabin, Vision-S menampilkan skrin papan pemuka yang menyerupai kenderaan yang dibangunkan syarikat pemula EV, Byton dengan skrin bagi penumpang belakang terdapat di perehat kepala tempat duduk depan.

“Prototaip ini merangkumi sumbangan kami ke arah mobiliti masa depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sony, Kenichiro Yoshida dipetik oleh The Verge.

Sony mengumumkan Vision-S sempena sidang media CES yang turut digunakan untuk memperkenalkan logo baharu konsol permainan video terkemuka, PlayStation 5.

Sony hanya menggunakan satu atau dua minit untuk membincangkan mengenai kereta sebelum ia menamatkan sidang media dan meninggalkan lebih banyak persoalan tanpa jawapan.

Antara persoalan yang timbul adalah ‘adakah Sony (atau Magna) bercadang untuk mengeluarkan model ini atau ia hanya dijadikan rujukan?; Adakah Magna membiarkan syarikat lain membangunkan prototaipnya atau kereta rujukan menerusi platform berkenaan?; dan sudah tentu adakah ia boleh dimainkan dalam permainan Gran Turismo?.

Sony juga mengumumkan kejayaan bahagian sensor imejnya melabur dalam teknologi yang berkaitan dengan pemanduan autonomi termasuk penderiaan jauh pengesan cahaya dan jarak (LIDAR) serta kamera Time-of-Flight.

Berita Harian X