Rabu, 19 Februari 2020 | 3:48pm
PERLUMBAAN Vios Challenge bersempena Festival TGR tidak pernah mengecewakan peminat sukan pemotoran khususnya penggemar model Toyota Vios. - Foto Emel
PERLUMBAAN Vios Challenge bersempena Festival TGR tidak pernah mengecewakan peminat sukan pemotoran khususnya penggemar model Toyota Vios. - Foto Emel

TGR gegar Pulau Pinang

Hujung minggu lalu, Stadium Batu Kawan kembali dihangatkan dengan Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) yang menyaksikan lebih 15,000 pengunjung hadir sepanjang dua hari acara berlangsung.

Selain pelbagai aktiviti yang menghiasi hujung minggu penduduk setempat, pastinya perlumbaan Vios Challenge menjadi tarikan.

Membariskan pelumba berwibawa, Vios Challenge dilihat sebagai pentas untuk membuktikan kemampuan.

PERLUMBAAN Vios Challenge bersempena pusingan ketiga Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) musim ke-3 yang berlangusng di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang. - Foto Emel
PERLUMBAAN Vios Challenge bersempena pusingan ketiga Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) musim ke-3 yang berlangusng di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang. - Foto Emel

Dipecahkan kepada tiga kategori iaitu Super Sporting, Sporting dan Promotional, perlumbaan pusingan ketiga di Stadium Batu Kawan mempunyai cerita yang tersendiri.

Perlumbaan hari pertama

Perlumbaan pertama Vios Challenge menghidangkan aksi penuh debar bagi ketiga-tiga kategori dipertandingkan.

Seperti diramal, Raja Drift Malaysia, Tengku Djan Ley dari 23 Motors terus mendominasi perlumbaan kategori Super Sporting apabila menamatkan cabaran di tempat pertama dengan catatan 30 minit 31.276 saat di depan Mark Darwin (Laser Motor Racing) dan Brendan Paul (Dream Chaser).

Dalam kategori Sporting, pelumba muda, Hayden Haikal dari S&D Motorsports mengungguli tempat pertama meninggalkan pencabarnya, Kenneth Koh

(Panglima City Racing Team) 4.879 saat di belakang dan pelumba Crestmax Motorsports, Adam Khalid di kedudukan ketiga.

Bagi kategori Promotional, Shawn Lee menerima tentangan sengit dari Nabil Ahmad dan Shukri Yahaya dengan masing-masing hanya 0.703 saat dan 1.337 saat untuk mengakhiri saingan 20 pusingan di litar jalanan Stadium Batu Kawan.

Perlumbaan di Stadium Batu Kawan sangat kritikal dalam menentukan kejuaraan dalam ketiga-tiga kategori yang dipertandingkan.

Ia menjadi perlumbaan terakhir yang dipertandingkan di litar jalanan sebelum acara kemuncak berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada April.

Hari kedua lebih drama

Memasuki hari kedua, cuaca cerah dan hangat membakar litar untuk meningkatkan lagi adrenalin pelumba untuk menghasilkan sesuatu yang menakjubkan pada hari kedua perlumbaan Vios Challenge.

Dalam kelas Super Sporting, Tengku Djan gagal mempertahankan kedudukan sekali juara hari pertama apabila Freddie Ang dari Telagamas Toyota unggul di tempat pertama.

Kemenangan manis Freddie yang mendahului sejak pusingan pertama turut mengiringi William Ho (Toyotsu) dan juara bertahan, Boy Wong, masing-masing pemenang tempat kedua dan ketiga.

Dalam kategori Sporting, persaingan juga tidak kurang hebatnya apabila empat daripada 16 kereta terpaksa melupakan baki perlumbaan selepas terbabit dengan kemalangan.

Bradley Benedict Anthony (Dream Chaser) unggul di tempat utama selepas berjaya memintas Tom Goh (S&D Tama Motorsports) pada dua selekoh terakhir untuk menjuarai perlumbaan kedua di Stadium batu Kawan. Sutan Mustaffa (SMS Motorsports) berpuas hati di tempat ketiga.

Dalam kategori tumpuan iaitu Promotional, Shukri Yahaya, Nabil Ahmad dan Shawn Lee sekali lagi mengungguli tiga kedudukan teratas untuk menamatkan saingan 20 pusingan.

“Ini adalah kemenangan pertama saya musim ini dan saya sangat gembira,” kata Shukri.

‘Hidangan’ kepada pengunjung turut terarah kepada beberapa acara termasuk pameran sebuah model Toyota KE-10 1968 yang direstorasi selengkapnya.

Tidak hanya itu, pameran kereta retro oleh Art of Speed serta pameran motosikal dan cenderahati Harley-Davidson, Aprilia, Vespa dan Moto Guzzi juga mewarnai suasana penuh kehangatan.

Berita Harian X