Selasa, 31 March 2020 | 7:33pm
Perodua Bezza 1.3AV hadir dengan pembaharuan selaras dengan keperluan masa kini dan harga mampu milik. - NSTP/Aziah Azmee
Perodua Bezza 1.3AV hadir dengan pembaharuan selaras dengan keperluan masa kini dan harga mampu milik. - NSTP/Aziah Azmee

Sedan mampu milik rakyat Malaysia

MEMANDU uji Perodua Bezza 2020 bagi varian 1.3AV meninggalkan pengalaman yang cukup positif kepada penulis.

Pada mulanya, penulis merasakan dengan enjin 1.3 liter, pastinya kuasa yang ditawarkan kurang memberangsangkan disebabkan saiz dan beratnya.

Namun, sangkaan penulis meleset sama sekali. Trenkuasa yang ditampilkan menerusi varian ini sebenarnya memberikan kuasa yang mencukupi.

Sebenarnya, ngauman enjin ketika pedal ditekan mendadak kurang kedengaran dan tahap responsif juga amat memberangsangkan.

Berdasarkan ekspresi pertama ketika mencuba Bezza 1.3AV ini sudah cukup untuk menggambarkan kesungguhan pasukan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) untuk menghasilkan sedan rakyat kompetitif dari segi harga mahupun prestasi.

Varian tertinggi ini didatangkan dengan enjin empat silinder 1.3L yang menghamburkan 94 kuasa kuda (hp) dan tork puncak 121 Nm.

Penghasilan varian ini turut mengetengahkan ruang kabin yang lebih selesa kerana bunyi bising atau gegaran kurang dirasai dalam kabin Bezza 1.3AV.

Pasukan PERODUA memastikan pemilikan Bezza 1.3AV adalah berbaloi untuk rakyat Malaysia. - NSTP/Aziah Azmee
Pasukan PERODUA memastikan pemilikan Bezza 1.3AV adalah berbaloi untuk rakyat Malaysia. - NSTP/Aziah Azmee

Kerusi dan stereng balutan kulit. - NSTP/Aziah Azmee
Kerusi dan stereng balutan kulit. - NSTP/Aziah Azmee

Kemasan ruang dalaman juga lebih menarik dan kemas termasuk kerusi dan stereng balutan kulit serta skrin sentuh dengan ciri mirror link untuk telefon bimbit.

Tampil lebih meyakinkan

Kombinasi meter beriluminasi putih menaikkan lagi gaya sudut dalaman, manakala sistem kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, serta sensor sisi hadapan turut terdapat pada Bezza 1.3AV.

Lebih menonjol adalah ciri keselamatan ASA 2.0, iaitu fungsi sama yang ada pada kenderaan utiliti sukan (SUV), Perodua Aruz.

Menerusi ASA 2.0, ia menawarkan brek kecemasan autonomi (AEB) yang berkesan sehingga kelajuan 80 kilometer sejam (km/j) yang juga boleh mengesan pejalan kaki dalam kelajuan hingga 50 km/j.

Dari segi reka bentuk pula, banyak pembaharuan dilakukan PERODUA termasuk bamper belakang yang dapat menutup sedikit ‘kejanggalan’ yang ada pada versi sebelumnya.

Bezza 1.3AV juga tampil lebih yakin dengan lampu hadapan LED dan bampar hadapan reka bentuk baharu.

Banyak pembaharuan dilakukan PERODUA termasuk bamper belakang yang dapat menutup sedikit ‘kejanggalan’ yang ada pada versi sebelumnya. - NSTP/Aziah Azmee
Banyak pembaharuan dilakukan PERODUA termasuk bamper belakang yang dapat menutup sedikit ‘kejanggalan’ yang ada pada versi sebelumnya. - NSTP/Aziah Azmee

Bezza 1.3AV juga tampil lebih yakin dengan lampu hadapan LED dan bampar hadapan reka bentuk baharu. - NSTP/Aziah Azmee
Bezza 1.3AV juga tampil lebih yakin dengan lampu hadapan LED dan bampar hadapan reka bentuk baharu. - NSTP/Aziah Azmee

Selain skirt sisi dwi-tona, varian ini hadir dengan rim aloi 10-jejari 15-inci yang memberikan rupa keseluruhan yang meyakinkan.

Varian ini turut menerima cermin sisi berkuasa boleh laras dan sensor undur serta kamera undur dan cermin sisi yang boleh dilipat dengan menekan butang.

Dengan harga atas jalan tanpa insurans bermula RM49,980, ia pastinya pelaburan berbaloi kepada mereka yang inginkan sedang pada harga kompetitif tetapi dengan tawaran reka bentuk yang menarik serta ciri keselamatan lebih baik.

Dengan tawaran harga yang ditampilkan, sudah tentu ramai yang berkelayakan atau mampu untuk membeli Bezza khususnya bagi mereka yang memang memerlukan kereta pada harga kompetitif.

Berita Harian X