Rabu, 29 April 2020 | 5:48pm
Honda Malaysia Sdn Bhd akan menyambung operasi perkhidmatan selepas jualan secara berperingkat mulai hari ini. - Foto NSTP
Honda Malaysia Sdn Bhd akan menyambung operasi perkhidmatan selepas jualan secara berperingkat mulai hari ini. - Foto NSTP

Honda Malaysia sambung khidmat lepas jualan

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia Sdn Bhd akan menyambung operasi perkhidmatan selepas jualan secara berperingkat mulai hari ini.

Ia selepas mendapat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Bagaimana pun, pejabat jualan, kilang pengeluaran serta bilik pameran pengedarnya akan terus ditutup sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkenaan.

Dalam kenyataan hari ini, pengeluar kereta itu berkata semua langkah-langkah berjaga-jaga sewajarnya akan dilaksanakan di semua premis pengedarnya bagi melindungi keselamatan dan kesejahteraan pelanggan dan rakan sekutu.

"Operasi perkhidmatan selepas jualan yang disambung semula itu disertakan dengan pelaksanaan langkah-langkah berjaga-jaga secara proaktif, termasuk melakukan sanitasi serta disinfeksi secara kerap di kemudahan terbabit," katanya.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Toichi Ishiyama berkata Honda Malaysia akan akur dengan keputusan lanjutan PKP sebagai menyokong usaha dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia dan rakyat susulan pandemik COVID-19.

Namun, pada masa sama, katanya, pelanggan juga perlu memastikan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan baik dan memerlukan perkhidmatan penyelenggaraan.

"Sejajar sambungan perkhidmatan selepas jualan itu, kami turut menekankan kepentingan meneruskan pematuhan terhadap ketetapan PKP dengan sentiasa peka dan melaksanakan langkah-langkah sewajarnya dari segi amalan kebersihan menerusi sanitasi dan pembasmian kuman, pembersihan diri secara amnya serta penjarakan sosial.

"Honda adalah antara syarikat automotif terkemuka yang dipercayai ramai rakyat Malaysia dan kami amat menghargai keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan para pelanggan, penasihat sevis dan juruteknik kami," katanya. - Bernama

Berita Harian X