Isnin, 11 Mei 2020 | 3:22pm

Kilang Toyota di Selangor sambung operasi

KUALA LUMPUR: Assembly Services Sdn Bhd (ASSB), anak syarikat UMW Toyota Motor Sdn Bhd yang terbabit dalam pemasangan dan pengeluaran kenderaan Toyota menyambung semula operasinya bermula hari ini.

ASSB dalam satu kenyataan, berkata, penyambungan semula operasinya adalah susulan kepada kebenaran yang diberikan oleh kerajaan Selangor berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan pada 4 Mei lalu.

Katanya, sebelum ini, ASSB menggantung semua operasinya bermula 18 Mac lalu sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah untuk membendung penularan wabak COVID-19.

"Syarikat akan menyambung semula operasi bermula hari ini.

"Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan Selangor di atas keputusan untuk melaksanakan PKPB dengan perincian khusus seperti ini serta memahami bahawa langkah berkenaan adalah untuk kebaikan negeri dan juga rakyatnya," kata Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran.

Ravindran berkata, dengan penyambungan semula operasi, ia berharap akan dapat membantu merancakkan semula ekonomi serta meningkatkan momentum industri automotif dan perniagaan.

"Kami akan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sama seperti syarikat lain yang dibenarkan menyambung semula operasi dalam kapasiti penuh.

"ASSB akan patuh sepenuhnya kepada semua SOP berkenaan demi menjaga kesihatan dan keselamatan kira-kira 2,000 pekerja yang bertugas di kilang kami," katanya.

Antara SOP yang dipraktikkan ialah mengekalkan jarak satu meter antara pekerja; pemeriksaan suhu badan dengan kerap; langkah pencegahan menggunakan cecair sanitasi dan topeng muka; serta pembasmian kuman di premis tiga kali sehari.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama, berkata sekiranya perlu, tempoh bekerja serta aliran tugas juga akan diubah untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.

"Toyota Motor Corporation (TMC) juga sangat serius dalam menyediakan suasana yang selamat dan sihat bagi semua pekerja.

"Sebagai keluarga besar Toyota di peringkat antarabangsa, ASSB boleh memanfaatkan nasihat serta amalan kesihatan terbaik daripada TMC berkaitan langkah tambahan yang boleh diambil untuk operasi di Selangor," katanya.

Berita Harian X