Selasa, 12 Mei 2020 | 1:35pm
Jualan Toyota susut hampir 20 peratus - Foto AFP
Jualan Toyota susut hampir 20 peratus - Foto AFP

Untung operasi Toyota dijangka merosot

TOKYO: Toyota menjangkakan penurunan 79.5 peratus keuntungan operasi tahunan bagi tahun fiskal semasa berikutan kemerosotan 'ketara' daripada pandemik COVID-19.

Gergasi automotif Jepun itu enggan memberikan unjuran keuntungan bersih bagi tahun fiskal berakhir Mac 2021, namun menegaskan impak krisis itu kepada perniagaannya adalah 'meluas, ketara dan serius'.

Syarikat menjangkakan keuntungan operasi 500 bilion yen (RM19.9 bilion), susut 79.5 peratus berbanding 2.44 trilion (RM98.6 bilion) yang dicatatkan pada tahun fiskal sebelumnya.

Toyota mengunjurkan penurunan hampir 20 peratus jualan tahunan kepada 24 trilion yen (RM970 bilion), berbanding 29.93 trilion yen (RM1.2 trilion) yang dicatatkan pada tahun fiskal terdahulu.

Keuntungan bersih syarikat sejak setahun lalu sehingga Mac berjumlah 2.076 trilion (RM83.8 bilion), meningkat 10.3 peratus berbanding setahun sebelum itu.

"Bagi ekonomi global menuju ke hadapan, ada kebimbangan bahawa terdapat penurunan ketara di beberapa negara dan wilayah disebabkan impak COVID-19," kata Toyota dalam satu kenyataan.

"Walaupun kami beranggapan bahawa pasaran automotif global secara keseluruhan akan pulih secara beransur-ansur selepas berada di tahap rendah pada April dan Jun 2020, impak COVID-19 adalah meluas, ketara dan serius, malah dijangka kelemahan akan berterusan buat masa sekarang."

-AFP

Berita Harian X