Jumaat, 22 Mei 2020 | 5:56pm
Jumlah jualan kenderaan di Malaysia pada April merosot mendadak - Gambar hiasan
Jumlah jualan kenderaan di Malaysia pada April merosot mendadak - Gambar hiasan

Hanya 141 unit kenderaan dijual di Malaysia bulan lalu

KUALA LUMPUR: Jumlah jualan kenderaan pada April merosot mendadak kepada 141 unit berbanding 49,935 unit tahun sebelumnya, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Industri automotif negara yang menerima impak disebabkan penularan pandemik COVID-19, hampir lumpuh kerana tidak boleh beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

MAA berkata, jumlah jualan kenderaan tahun ke tahun susut kepada 106,601 unit daripada 192,971 unit tahun lalu.

Jumlah penjualan kenderaan negara ini merangkumi kenderaan penumpang dan komersial.

"Perniagaan disambung semula untuk kebanyakan sektor ekonomi setelah PKP tidak dilaksanakan. Namun, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hanya mula memberi kebenaran pendaftaran kenderaan baru dari 13 Mei 2020.

"Syarikat menghadapi kelewatan dalam membuat pemeriksaan kenderaan di Puspakom Sdn Bhd kerana terlalu banyak kenderaan. Keyakinan pengguna juga belum kembali normal dan sentimen masih sangat rendah.

"Trafik bilik pameran automotif sangat perlahan. Bank lebih ketat dalam memberikan pinjaman sewa beli serta mengurangkan jumlah pinjaman sewa beli," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MAA berkata, jumlah jualan pada Mei 2020 akan jauh lebih tinggi daripada April 2020, tetapi jauh lebih rendah daripada jumlah pendaftaran bulanan sebelum pandemik ini melanda.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X