Isnin, 20 Julai 2020 | 5:14pm

VPCM panggil semula 12,732 unit Volkswagen

KUALA LUMPUR: Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memanggil semula secara sukarela beberapa model yang dihasilkan antara 2011 hingga 2015 untuk membaiki tekanan hidraulik di dalam kotak gear klac berkembar 7-kelajuan yang mengalami kerosakan di peringkat pengeluaran.

VPCM dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 12,732 kenderaan Volkswagen dikenal pasti untuk menjalani pemeriksaan di bawah kempen panggilan semula itu.

"Model yang terjejas ialah Beetle, Cross Touran, Golf (Mk6 dan Mk7), Jetta, Passat (B7), Passat CC, Polo (6R) dan Scirocco," katanya.

Panggilan semula itu tidak membabitkan model yang dikeluarkan dari 2016 ke atas.

Menurut kenyataan itu, dalam beberapa kes tertentu, kegagalan komponen terbabit boleh menyebabkan kehilangan tekanan, sekali gus mengganggu pengalihan kuasa di antara enjin dan kotak gear.

"Kempen di seluruh negara ini akan dijalankan secara berperingkat-peringkat untuk menguruskan kes berkenaan. Makluman kepada pemilik akan dibuat menerusi mel berkuat-kuasa serta-merta.

"Selain itu, pemilik juga digalakkan untuk melayari laman web Volkswagen untuk memeriksa sama ada kenderaan mereka terbabit atau sebaliknya. Mereka juga boleh menghubungi khidmat pelanggan Volkswagen di talian 1800-18-8947 untuk maklumat lanjut.

"Kemudian, pemilik boleh menghubungi mana-mana pusat servis Volkswagen untuk temu janji, kenderaan diperiksa dan alat ganti ditukar sekiranya perlu," katanya.

VPCM berkata, ia telah mengambil langkah sewajarnya dengan rakan pengedar bagi memastikan kebolehdapatan alat ganti, seterusnya membolehkan proses ini dijalankan dengan lancar dan efektif.

"Semua kos buruh dan penggantian alat ganti tidak akan dikenakan ke atas pemilik.

"Sebagai tambahan, pemilik akan menerima kad keahlian Volkswagen Care Plus (VCP) secara percuma sebagai tanda penghargaan daripada Volkswagen," katanya.

VCP adalah ialah program eksklusif untuk pemilik yang mempunyai kereta berusia lima tahun dan ke atas.

Kelebihan lain yang dapat dinikmati oleh ahli termasuklah tiga baucar diskaun servis sebanyak 20 peratus, Bantuan Tepi Jalan percuma selama dua tahun dan sokongan bateri di lokasi 24 jam (tertakluk kepada terma dan syarat).

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter, berkata sebagai pengeluar kenderaan yang bertanggungjawab, keyakinan dan ketenangan minda pelanggan adalah sangat penting buat syarikat itu.

"Kami memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi pelanggan. Kami harap pelanggan faham bahawa kempen ini penting untuk memastikan mereka kekal yakin dengan prestasi kenderaan masing-masing.

"Walaupun kami telah mengenal pasti jumlah kenderaan yang terbabit dalam panggilan semula ini, bukan semua alat gantinya perlu ditukar. Ini adalah satu langkah yang signifikan buat kami dan VPCM mahu memastikan semua kenderaan berkenaan diperiksa.

"Kempen ini adalah sebahagian daripada inisiatif Volkswagen Cares dan kami komited terhadap aspek keselamatan, perkhidmatan dan kepuasan pelanggan," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, sila layari laman web www.volkswagen.com.my atau hubungi pusat khidmat pelanggan Volkswagen di talian 1800-18-8947.

Berita Harian X