Selasa, 21 Julai 2020 | 3:59pm
Sisi hadapan model versi baharu Honda BR-V
Sisi hadapan model versi baharu Honda BR-V
Sisi belakang model versi baharu Honda BR-V
Sisi belakang model versi baharu Honda BR-V

Honda BR-V baharu terima lebih 1,400 tempahan

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia menerima lebih 1,400 tempahan dalam tempoh sebulan bagi model versi baharu Honda BR-V selepas dilancarkan awal bulan lalu.

Honda Malaysia dalam satu kenyataan, berkata rekod tempahan yang diterima kenderaan utiliti sukan (SUV) itu amat memberangsangkan, selaras dengan penawaran yang memenuhi keperluan harian pelanggan.

"Sejak BR-V pertama kali dilancarkan di Malaysia pada 2017, ia dengan pantas menjadi satu daripada model tujuh tempat duduk paling popular di pasaran. Sehingga kini 32,600 unit sudah dijual di Malaysia," katanya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama, berkata BR-V baharu menerima permintaan tinggi di wilayah Tengah, yang mewakili 42 peratus daripada keseluruhan tempahan.

"Dari dua varian yang ditawarkan kami, lebih 85 peratus memilih varian V, sementara bakinya adalah varian E.

"Lebih 24 peratus tempahan diterima adalah untuk warna Modern Steel Metallic, yang menjadi warna kegemaran dalam kalangan pemilik BR-V baharu," katanya.

Honda BR-V baharu ditawarkan dengan dua varian iaitu E dengan harga atas jalan tanpa insurans RM86,726 (warna standard) dan RM86,998.73 (White Orchid Pearl).

Bagi varian V pula, harga atas jalan adalah RM93,420.27 (warna standard) dan RM93,693 (White Orchid Pearl).

Bulan lalu, Honda Malaysia mengumumkan pengurangan harga model keluarannya berikutan pengumuman pengecualian cukai jualan oleh kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Berita Harian X