Jumaat, 24 Julai 2020 | 4:52pm
BMW M135i xDrive
BMW M135i xDrive
BMW X1 sDrive18i
BMW X1 sDrive18i

BMW tampil dua model baharu ke Malaysia

KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia mewarnai segmen kereta premium negara dengan memperkenalkan dua model baharu BMW M135i xDrive dan BMW X1 sDrive18i ke pasaran tempatan.

BMW M135i xDrive yang turut dikenali sebagai 'The 1', model hatchback premium terkemuka dalam portfolio BMW ditawarkan pada RM355,646.25, manakala BMW X1 sDrive18i yang juga kenderaan aktiviti sukan (SAV) dijual pada harga bermula RM208,368.48.

Ia adalah harga jualan atas jalan, tanpa insurans dengan penawaran BMW Group Malaysia bagi waranti tanpa had perbatuan bertempoh lima tahun serta Program Servis Berjadual Percuma.

Bagi The 1, model itu didatangkan dengan enjin empat silinder TwinPower Turbo M Performance berkapasiti dua liter yang mampu menghasilkan 306 kuasa kuda (hp) dan tork puncak 450 Nm dengan kelajuan maksimum mencecah 250 kilometer sejam (km/j).

BMW M135i xDrive terbaharu juga hadir dengan 'Active Sound Design' yang mampu menguatkan bunyi sebenar daripada enjin dan memodulasinya untuk menghasilkan profil bunyi yang lebih sporty.

Model kompak sporty itu turut dilengkapi dengan suspensi M Sport dan brek M Sport yang memiliki daya penghenti yang tinggi.

Buat pertama kali, BMW M135i xDrive membawakan seni bina pacuan roda hadapan yang turut menampilkan teknologi yang diserap daripada BMW i untuk menghasilkan karakteristik pemanduan yang lebih cemerlang.

Teknologi AR seperti yang dilihat dalam jentera elektrik tulen BMW i3s meningkatkan lagi tahap cengkamannya dan membolehkan intervensi yang lebih sensitif dan tangkas dibuat pada gandar hadapan.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl, berkata BMW 1 Series telah menerajui standard kenderaan kompak premium sejak lebih dari sedekad yang lalu.

Katanya, BMW M135i xDrive yang menjadi model kompak sporty itu dipadankan dengan karakteristik BMW M yang ikonik dan menyerlahkan lagi ciri dinamik dan luar biasa yang tersendiri.

"Bagi BMW X1 sDrive18i pula, SAV terbaharu ini menyerlahkan jiwa dan keterampilan keluarga BMW X yang unggul dalam segmen kenderaan kompak premium.

"Varian baharu ini memperlihatkan kelasakan dan keyakinannya untuk menempuhi segala cabaran dengan membawakan sinergi yang sempurna antara dinamisme, kelincahan dan versatiliti," katanya.

Berita Harian X