Rabu, 18 Januari 2017 | 3:47pm

Kwasa Land, Gadang bangun plot tanah Kwasa Damansara

DARI kiri; Tan Sri Samsudin Osman, Datuk Mohd Lotfy Mohd Noh, Datuk Ling Hock Hing dan Tan Sri Dr Mohamed Ismail Merican
DARI kiri; Tan Sri Samsudin Osman, Datuk Mohd Lotfy Mohd Noh, Datuk Ling Hock Hing dan Tan Sri Dr Mohamed Ismail Merican

SUNGAI BULOH: Kwasa Land Sdn Bhd (Kwasa Land), pemaju induk Kwasa Damansara, melalui anak syarikatnya, Kwasa Development (3) Sdn Bhd, memeterai perjanjian bersama anak syarikat Gadang Holdings Bhd, Elegance Sonata Sdn Bhd, bagi membangunkan Plot R3-1 di perbandaran berkenaan.

Sebanyak 780 unit kediaman merangkumi pembangunan kondominium dan vila akan dibangunkan di atas plot R3-1, tanah berstatus pegangan bebas yang berkeluasan 21.08 ekar (8.5 hektar).

Plot R3-1 dijangka dapat menjana nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM700 juta.

Melalui perjanjian yang dimeterai hari ini, Kwasa Land bakal memperoleh sebanyak RM165.5 juta daripada nilai hak pembangunan dan perkongsian pulangan dari Gadang Holdings.

Perjanjian dimeterai Pengarah Urusan Kwasa Land, Datuk Mohd Lotfy Mohd Noh, mewakili Kwasa Development (3), manakala Elegance Sonata Sdn Bhd oleh Pengarah Urusan Bahagian Hartanah Gadang Holdings, Datuk Ling Hock Hing.

Ia disaksikan Pengerusi Kwasa Land, Tan Sri Samsudin Osman dan Pengerusi Gadang Holdings, Tan Sri Dr Mohamed Ismail Merican.

Menurut Kwasa Land, plot berkenaan dibangunkan berhadapan taman yang berkeluasan 28.91 ekar (11.7 hektar) dan sebuah tasik seluas 13.64 ekar (5.52 hektar).

Ia terletak berdekatan dengan taman rekreasi bandar, cadangan pembinaan sekolah dan plot pembangunan komersial.

Pembangunannya boleh diakses dari Persiaran Atmosfera dan ia bakal dihubungkan ke Lebuhraya Guthrie.

Ciri menarik bagi pembangunan ini ialah kewujudan sungai yang menjadi tulang belakang pembangunan ini. Ia disempurnakan lagi oleh pembangunan kontemporari kawasan sekeliling yang menyambungkan sungai kepada komuniti sekitar.

Reka bentuk pembangunan ini akan mengoptimumkan pemandangan sungai manakala bahagian aras rendah akan dihiasi taman berlanskap.

Dua stesen MRT dalam pembangunan ini yang sudah siap dan sedang beroperasi sepenuhnya juga akan memberi nilai tambah kepada pembangunan hartanah di Kwasa Damansara yang terletak dalam anggaran jarak dari 500 hingga 700 meter dari stesen Kwasa Damansara dan stesen Kwasa Sentral.

Berita Harian X