Khamis, 20 Julai 2017 | 7:21pm
PENGARAH Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff. - Foto Ghazali Kori

BDB lancar 2 bandar baharu GDV RM2.6b

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah yang berpangkalan di Kedah, Bina Darulaman Bhd (BDB) hari ini melancarkan dua pembangunan perbandaran bersepadu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.6 bilion.

Projek berkenaan akan dibangunkan di Jitra, Kedah dengan dikenali sebagai Darulaman Saujana dan di Sungai Petani dikenali sebagai Darulaman Putra.

Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff, berkata dua projek pembangunan perbandaran bersepadu baharu itu akan menampilkan konsep 'The Life Series' yang mana ia berbeza daripada projek hartanah sedia ada yang dilaksanakan pemaju hartanah itu ketika ini.

Beliau berkata, menerusi projek pembangunan perbandaran baharu itu, pihaknya menawarkan pembeli rumah bukan saja kediaman, sebaliknya menyelitkan elemen gaya hidup berkualiti bagi memenuhi permintaan pasaran.

"Sebelum ini, projek yang kami bangunkan tertumpu kepada kediaman.

"Dua projek perbandaran bersepadu baharu ini lebih daripada kediaman dengan terdapat elemen komersial dan rekreasi yang mana menjadi trend di bandar utama lain di negara ini," katanya selepas pelancaran projek pembangunan itu di sini, hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

BDB juga melancarkan talian bebas tol sehenti untuk pelanggan membuat pertanyaan di talian 1-300-888-080.

Berita Harian X