Jumaat, 28 Julai 2017 | 3:31pm

Handal Group sasar jualan RM103 juta projek BJB Heights Residence

JASIN: Syarikat pemaju hartanah, Handal Group menyasar jualan bernilai RM103 juta daripada projek terbarunya, Bandar Jasin Bestari (BJB) Heights Residence.

Projek membabitkan dua fasa pembinaan terdiri daripada 133 unit rumah banglo itu dijangka siap sepenuhnya menjelang Julai 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sonny Tay, berkata projek fasa pertama terdiri daripada 80 unit rumah banglo mewah, disusuli 53 unit lagi bagi fasa kedua.

"Bagi projek fasa pertama, terdapat tiga jenis rumah iaitu Emerald sebanyak 51 unit, Sapphire (20) dan Diamond sebanyak sembilan unit.

"Kita mengenengahkan kediaman banglo berkonsep mewah kerana di daerah Jasin turut mempunyai rumah mampu milik dan setakat ini, sembilan unit banglo jenis Diamond sudah habis dijual.

"Antara kemudahan yang akan disediakan termasuk taman rekreasi, kolam renang dan landskap menarik di sekitar kawasan perumahan," katanya selepas majlis pelancaran projek itu yang disempurnakan Timbalan EXCO Kesihatan, Sukan dan Anti Dadah Melaka, Datuk Ng Choon Koon di sini, hari ini.

Harga jualan bagi rumah banglo jenis Emerald adalah RM933,000; RM823,000 hingga RM957,000 (Sapphire) dan RM1.06 hingga RM1.15 juta (Diamond).

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM), Datuk Yusof Jantan.

Sementara itu, Choon Koon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban berkata, lokasi BJB yang tidak jauh dari pusat bandar Melaka menjadi satu daripada tarikan kepada pelabur untuk menjalankan projek pembangunan yang memberi kesan pada masa akan datang.

"Selain itu, kawasan ini juga mempunyai banyak kemudahan perkhidmatan, selain premis perniagaan untuk kemudahan penduduk setempat," katanya.

308 dibaca
Berita Harian X