Khamis, 14 September 2017 | 10:32pm

Pembinaan TRX Lifestyle Quarter lancar

KUALA LUMPUR: Pembinaan Lifestyle Quarter, pembangunan bercampur di Tun Razak Exchange (TRX), oleh kumpulan infrastruktur dan hartanah berpangkalan di Australia, Lendlease, kini giat dijalankan.

Lendlease, dalam satu kenyataan, memaklumkan ia kini dalam fasa pembinaan selepas dua tahun dengan lebih 100 jurubina, jurutera dan perunding dari Malaysia serta firma antarabangsa terpilih bekerjasama dalam mereka bentuk bagi pembangunan itu.

"Lendlease bekerjasama dengan TRX City Sdn Bhd dan dua rakan kongsi tempatan untuk memastikan TRX Lifestyle Quarter meningkatkan peranan Kuala Lumpur sebagai hab perniagaan dan kewangan utama untuk Malaysia dan Asia," katanya.

Katanya, TRX Lifestyle Quarter, meliputi kawasan seluas 6.87 hektar, terdiri daripada pusat membeli-belah dengan ruang boleh disewa seluas 120,773 meter persegi, enam menara kediaman, sebuah hotel mewah dan taman.

Pembangunan itu katanya akan menghubungkan ke stesen MRT bawah tanah terbesar di Kuala Lumpur, akses ke Lebuh raya Maju serta terowong SMART dan akses terus ke jalan utama iaitu Jalan Tun Razak dan Jalan Sultan Ismail.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Lendlease berkata syarikat kini memulakan pembinaan Fasa 2 Setia City Mall, di kawasan seluas 5.66 hektar yang terletak bersebelahan dengan Setia City Mall yang dibuka pada Mei 2012.

Menurutnya, pengembangan berkenaan dijangka meliputi kawasan lebih luas apabila siap pada 2019.

Pengembangan berkenaan akan menambah lebih 37,161 meter persegi ruang perniagaan yang menjadikan kawasan boleh disewa pusat membeli-belah itu kepada 111,483 meter persegi.

Fasa baharu berkenaan akan menambah 200 kedai, menjadikan jumlahnya melebihi 430 kedai dan kira-kira 4,000 ruang letak kereta. - BERNAMA

183 dibaca
Berita Harian X