Khamis, 14 September 2017 | 11:37pm
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Eco World Development Group Berhad, Datuk Chang Khim Wah. - Foto NSTP/Khairull Azry Bidin

Jualan Eco World Brand cecah RM3.95 bilion

KUALA LUMPUR: Eco World Brand mencapai jumlah jualan hartanah bernilai RM3.95 bilion dalam tempoh 10 bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2017 melalui penawarannya di pasaran Malaysia dan antarabangsa.

Daripada jumlah itu, Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) yang mempunyai operasi di Lembah Klang, Iskandar Malaysia dan Pulau Pinang, menyumbang jualan sebanyak RM2.39 bilion manakala EcoWorld International Bhd, dengan perniagaan teras membabitkan pembangunan hartanah di luar Malaysia, mencatatkan jualan sebanyak RM1.56 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Malaysia, Datuk Chang Khim Wah, berkata enam projek EcoWorld Malaysia di Lembah Klang menyumbang RM1.80 bilion, tujuh projeknya di Iskandar Malaysia (RM525 juta) dan dua projek semasa di Pulau Pinang menyumbang RM65 juta.

Chang berkata, sementara itu, tiga projek EcoWorld International di London mencatatkan jualan sebanyak RM1.31 bilion manakala dua projeknya di Australia menyumbang RM249 juta.

"Peningkatan jualan yang kukuh sebanyak 40 peratus pada suku ketiga berbanding suku kedua amat menggalakkan. Pada separuh pertama tahun ini, kami amat sibuk menyerahkan fasa pertama hartanah yang telah dijual, dan setakat ini, kami telah menyerahkan hampir 4,500 unit kepada pembeli kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi baki dua bulan tahun kewangan 2017, kumpulan itu akan berusaha untuk mencapai sasaran jualannya sebanyak RM4 bilion daripada projek di Malaysia dan RM2.5 bilion daripada projek antarabangsa.

Chang berkata, EcoWorld Malaysia merancang pelancaran mega empat projek yang besar sebelum akhir tahun kewangan 2017.

"Tiga projek baharu akan dilancarkan, iaitu, Eco Forest dan Eco Business Park V di Lembah Klang dan Eco Horizon di Pulau Pinang, bersama fasa kedua rumah bertanah di Eco Ardence, projek hartanah pembangunan bercampur di Shah Alam," katanya.

Sementara itu, EcoWorld International menjangka jualan projeknya di London meningkat pada September-Oktober tahun ini.

"Ini susulan daripada beberapa pameran bergerak antarabangsa yang telah dirancang untuk mempromosikan projeknya di United Kingdom sejajar dengan kempen pemasaran tempatan yang menyasarkan penduduk London apabila mereka kembali daripada cuti musim panas mereka," katanya.

EcoWorld International juga akan terus mencari tapak pembangunan di London dan Australia, katanya.

"Ini sejajar dengan matlamat korporatnya untuk membina portfolio hartanah yang pelbagai dengan perluasan projek yang baik di pelbagai peringkat pembangunan dan harga untuk memastikan kemampanan perniagaan dan tarikan pasaran yang luas," katanya. - BERNAMA

361 dibaca
Berita Harian X