Isnin, 25 September 2017 | 4:05pm

Damansara Realty peroleh kontrak PETRONAS

KUALA LUMPUR: Damansara Realty Bhd mendapat projek pengurusan kemudahan bersepadu (IFM) dianggarkan RM27.62 juta menerusi usaha sama dengan Kumpulan Perubatan (Johor) Sdn Bhd (KPJSB) membabitkan kemudahan perubatan kecil di pusat penapisan PETRONAS di Pengerang, Johor.

Dalam satu kenyataan, Damansara Realty berkata, kontrak itu dianugerahkan oleh PRPC Utilities & Facilities Sdn Bhd, anak syarikat Petronas Refinery & Petrochemical Corporation Sdn Bhd, kepada konsortium unitnya, TMR Urusharta (M) Sdn Bhd dan Kumpulan Perubatan (Johor) Sdn Bhd di bawah KPJ Healthcare Bhd.

"Projek itu merangkumi perkhidmatan perubatan bagi kemudahan saling sambung dan luar tapak untuk Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia PETRONAS (RAPID) di Pengerang," katanya.

Syarikat itu berkata, projek kemudahan perubatan kecil itu turut membabitkan kontrak perkhidmatan pilihan bernilai RM7.8 juta yang menjadikan potensi jumlah keseluruhan kontrak itu kepada RM35.42 juta.

Damansara Realty menyifatkan kontrak itu akan melonjakkan lagi segmen IFM syarikat yang telah memperoleh kontrak bernilai RM285 juta setakat Julai tahun ini. - Bernama

294 dibaca
Berita Harian X