Rabu, 27 September 2017 | 5:41pm
DATUK Jalil Abd Hamid (tiga dari kiri), Datuk Seri Dr Vincent Tiew (kiri), Chew Ruoh Syh (dua dari kiri), dan Vincent Heng (kanan) pada sidang media MyRumah siri Keempat di Balai Berita NSTP, di sini, hari ini.- Foto Eizairi Shamsudin

MyRumah 2017 siri Keempat sasar 10,000 pengunjung

 

KUALA LUMPUR: Pameran Hartanah MyRumah, anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) dengan kerjasama Lepro System Bhd (Lepro), meneruskan siri pamerannya yang memasuki penganjuran kali keempat untuk tahun ini, minggu depan.

 

Siri keempat pameran MyRumah bakal berlangsung pada 6 hingga 8 Oktober ini bertempat di The Curve, Mutiara Damansara dan dijangka menarik kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung.

 

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Jalil Abd Hamid, berkata penganjuran pameran berkenaan memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan kediaman mampu milik pada harga berpatutan khususnya mereka yang ingin membeli rumah pertama di sekitar Lembah Klang.

 

"Tumpuan diberikan kepada golongan berpendapatan pertengahan dan rendah yang ingin mempunyai rumah kediaman sendiri dengan pelbagai pilihan rumah bersesuaian.

 

"Kita tidak meletakkan sasaran dalam penjualan unit kediaman. Pameran ini bertujuan mendidik orang ramai mengenai hartanah selain membantu mereka membuat keputusan sebaiknya sebelum membeli rumah," katanya pada sidang media MyRumah siri Keempat di Balai Berita NSTP, di sini, hari ini.

 

Hadir sama, Naib Presiden Kanan, Datuk Seri Dr Vincent Tiew; Pengarah Lepro, Vincent Heng; Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib dan Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeannie Leong Lee Eu.

 

Beliau berkata, penganjuran pameran hartanah itu tidak akan berhenti pada tahun ini, malah akan diteruskan pada tahun depan.

 

"MyRumah tidak akan berakhir pada tahun ini, kita sudah mula membuat perancangan untuk tahun depan. Kita berharap ia akan dianjurkan lebih meriah serta menambah penyertaan pemaju perumahan," katanya.

 

Sementara itu, Pengurus Besar Pengiklanan Agensi/Projek Khas NSTP, Roche Chew Ruoh Syh, berkata sebanyak lapan syarikat pemaju akan menyertai pameran itu selama tiga hari.

 

"Syarikat pemaju menyertai pameran kali ini adalah Glomac Berhad, Magna Prima Development, Pantai Berkat Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seriemas Development Sdn Bhd, Sime Darby Group, UDA Holdings Bhd dan Worldwide Holdings Bhd.

 

"Pempamer bukan pemaju pula terdiri daripada Amanah Raya, Bank Muamalat, Cukoo, Grab, LePro,  Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), NSTP dan Volkswagen

 

"Pada masa sama, Grab Malaysia turut menawarkan potongan harga sebanyak RM5 kepada orang ramai yang ingin datang ke pameran terbabit menggunakan perkhdimatan mereka," katanya.

 

Info 

MyRumah 2017 Siri Keempat

- Dianjurkan bermula 6 hingga 8 Oktober

- Bertempat di The Curve Mutiara Damansara

- Empat siri bermula di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur pada 3 hingga 5 Mac lalu.

- Ia diikuti Johor Bahru dan Kedah, sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

- Pameran menumpukan hartanah bernilai di bawah RM500,000, merangkumi pelbagai pilihan jenis rumah bersesuaian.

Berita Harian X