Khamis, 5 Oktober 2017 | 2:42pm
TAN Sri Noh Omar melihat model bangunan ketika hadir pada Sidang Kemuncak Hartanah & Perumahan Negara ke-20 bertemakan 'Keadaan Industri Hartanah & Perumahan - Di Mana Hala Tuju Kita Dari Sini' di Subang Jaya, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq
TAN Sri Noh Omar melihat model bangunan ketika hadir pada Sidang Kemuncak Hartanah & Perumahan Negara ke-20 bertemakan 'Keadaan Industri Hartanah & Perumahan - Di Mana Hala Tuju Kita Dari Sini' di Subang Jaya, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

RM13b bantu rakyat miliki rumah

SUBANG JAYA: Kerajaan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan membelanjakan hampir RM13 bilion di bawah lima program bagi membantu rakyat memiliki rumah.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata bantuan berkenaan secara langsung menyelesaikan pelbagai isu perumahan, khususnya di kawasan bandar.

Katanya, ditambah dengan insentif perumahan lain oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Perumahan Kos Rendah Awam, kemudahan perumahan peneroka seperti FELDA dan FELCRA, kemudahan perumahan agensi pembangunan ekonomi seperti PPA1M dan PRIMA, usaha serta subsidi berkenaan memberi sumbangan besar dalam menyelesaikan isu perumahan.

"Penghargaan perlu diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas komitmen padunya yang secara berterusan menawarkan penyelesaian kreatif bagi menambah baik isu perumahan untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak Hartanah & Perumahan Negara ke-20 bertemakan 'Keadaan Industri Hartanah & Perumahan - Di Mana Hala Tuju Kita Dari Sini' di sini, hari ini.

Di bawah kementeriannya, Noh berkata, program perumahan teras ialah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dibiayai oleh kerajaan, menyaksikan sebanyak 184 projek PPR dirancang dengan 118 daripadanya sudah disiapkan untuk menyediakan 83,840 unit rumah kepada Kumpulan B40.

Katanya, kos purata setiap rumah antara RM130,000 hingga RM180,000 yang bermakna kerajaan membelanjakan lebih RM12 bilion kepada rakyat.

Beliau berkata, kerajaan juga menyediakan bantuan kepada kumpulan M40 untuk memiliki rumah pertama menerusi dua skim iaitu MyHome dan MyDeposit.

MyHome ialah program kerjasama dengan pemaju rumah swasta untuk membina lebih banyak rumah mampu milik dengan subsidi sehingga RM30,000 kepada pembeli yang layak dan kerajaan sudah membelanjakan RM127 juta dalam bentuk subsidi di bawah program itu.

MyDeposit pula inisiatif terbaharu di bawah Bajet 2017 dengan kerajaan menyediakan bantuan 10 peratus deposit atau maksimum RM30,000 bagi membantu pembeli rumah kali pertama.

Setakat 30 Jun lalu, seramai 1,451 rakyat mendapat manfaat daripada program itu membabitkan bantuan berjumlah RM39.2 juta.

Berita Harian X