Isnin, 23 Oktober 2017 | 5:53pm

Wujudkan insentif pengurusan kemudahan

KUALA LUMPUR: Damansara Realty Bhd (DBhd) mencadangkan kerajaan menimbang pelbagai insentif bagi meningkat kesedaran serta menggalakkan perkhidmatan pengurusan kemudahan yang betul, berikutan proses urbanisasi yang pesat di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Brian Iskandar Zulkarim, berkata pendidikan dan peningkatan kesedaran perlu demi kepentingan penyelenggaraan dan pengurusan bangunan yang betul bagi menjamin keselamatan serta persekitaran sihat untuk orang ramai yang menggunanya setiap hari.

"Terdapat pertumbuhan yang pesat dalam persekitaran terbina Malaysia dan hartanah terbabit, sama ada kediaman, komersial atau industri mempunyai kitaran hayat yang panjang.

"Kami berharap kerajaan akan memberi insentif kepada pendidikan pemilik aset untuk melihat nilai pengurusan kemudahan bersepadu (IFM) sebagai objektif perniagaan yang penting yang akan menyumbang ke arah penghargaan dan kemampanan jangka panjang harta mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Brian berkata, tanpa pengurusan kemudahan strategik atau bersepadu jangka panjang, pemilik aset akan menghadapi masalah dengan jangka hayat yang pendek serta nilai aset yang berkurangan.

Selain itu, katanya, skim fleksibel, insentif atau pelepasan cukai perlu diperkenal untuk pemilik hartanah bagi menyedia pengurusan kemudahan sebagai sebahagian daripada kemampanan jangka panjang yang meningkatkan kos kitaran hayat.

Kumpulan juga berharap Bank Negara Malaysia boleh mempertimbang mengurangkan garis panduan pinjaman yang ketat bagi sektor hartanah bagi pemaju untuk mendapatkan pembiayaan pembangunan rumah yang lebih mampu dimiliki.

Isu kemampuan memiliki rumah juga, katanya, menjejaskan negara kerana peningkatan kos sara hidup dan menggesa kelonggaran syarat pinjaman gadai janji yang ketat, bukan saja untuk pembeli rumah pertama kali, tetapi juga semua pembeli rumah berpotensi bagi memudahkan pemilikan rumah.

"Kami harap cadangan kami akan dipertimbang dalam Bajet 2018 kerana kami percaya terdapat potensi besar dalam sektor IFM ke arah pembangunan Malaysia, dari segi membantu perniagaan mencapai objektif korporat dan juga kebajikan ekonomi negara serta rakyat," katanya. BERNAMA

Berita Harian X