Selasa, 21 November 2017 | 3:49pm

Lebih separuh rumah PR1MA dijual

KUALA LUMPUR: Sejumlah 12,640 unit rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.16 bilion, sudah dijual sehingga 15 November 2017.

"Ini mewakili lebih 50 peratus daripada 25,132 unit rumah PR1MA yang dibuka untuk dijual pada masa ini," kata Perbadanan PR1MA Malaysia dalam satu kenyataan hari ini sebagai menjelaskan laporan media semalam mengenai bilangan rumah yang dijual.

PR1MA berkata dakwaan bahawa bilangan unit yang kini dalam pelbagai peringkat pembinaan dan penjualan, mengelirukan pembaca.

"Tidak semua 141,661 unit yang sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan dibuka untuk jualan, dan adalah tidak benar untuk menyimpulkan bahawa kurang daripada 10 peratus unit PR1MA dijual sehingga kini," kata PR1MA.

"Sebelum menjual rumah, kami mesti terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa, dan bukan semua rumah yang sedang dalam pembinaan boleh dijual," kata PR1MA.

Hakikatnya, sambutan ke atas projek PR1MA sangat menggalakkan di lokasi utama, sebagai contoh, PR1MA @ Jalan Jubilee di Bukit Bintang, yang terlebih langganan sebanyak 27 kali, dengan 224 unit atau 42 peratus daripada 542 unit untuk jualan, dibeli dalam tempoh tiga hari pada hujung minggu lalu.

Harga yang berpatutan ini membolehkan rakyat Malaysia memiliki rumah di lokasi utama, betul-betul di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur, katanya.

"Kami mahu menegaskan bahawa PR1MA komited menyediakan rumah dengan gaya hidup dan konsep komuniti untuk pembeli rumah dari kumpulan berpendapatan sederhana (M40)," katanya.

Beliau menambah, penyediaan projek ini akan menangani peningkatan permintaan untuk rumah pada harga berpatutan dan berkualiti di Malaysia.

"PR1MA mensasarkan menjual 16,250 unit menjelang akhir tahun menerusi pameran bergeraknya di seluruh negara iaitu Hari Terbuka PR1MA," katanya. - BERNAMA

395 dibaca
Berita Harian X