Jumaat, 7 September 2018 | 3:59pm
KETUA Pegawai Eksekutif Mah Sing Group Bhd (Mah Sing), Datuk Ho Hon Sang. - Foto Owee Ah Chun
KETUA Pegawai Eksekutif Mah Sing Group Bhd (Mah Sing), Datuk Ho Hon Sang. - Foto Owee Ah Chun

Tiada jaminan harga rumah turun

BANGI: Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 September lalu tidak memberi jaminan harga rumah akan turun meskipun terdapat beberapa bahan binaan dikecualikan daripada rejim cukai terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing Group Bhd (Mah Sing), Datuk Ho Hon Sang, berkata antara langkah tepat yang boleh dilakukan adalah dengan mengekalkan kadar harga sedia ada memandangkan pihaknya yakin lebih banyak pengecualian akan diberikan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, perkara berkenaan adalah disebabkan meskipun terdapat bahan binaan yang dikecualikan daripada cukai itu, namun ia hanyalah bahan asas kerana masih terdapat bahan penting lain dikenakan cukai seperti kaca, aluminium dan barangan elektrik.

“Kami percaya pengenalan semula cukai ini dijangkakan tidak akan menjejaskan pasaran hartanah serta tiada sebarang kenaikan harga kerana apa yang boleh dilakukan pemaju adalah mengekalkan harga sedia ada.

“Bagaimanapun, setakat ini kami tidak dapat menilai secara keseluruhannya mengenai kesan SST ini berikutan dalam sektor pembinaan rumah, ia membabitkan banyak bahan selain simen, pasir dan besi.

“Malah, ia sebenarnya turut berkait rapat dengan faktor penawaran dan permintaan, sekiranya terdapat permintaan yang baik, kami akan melihat kepada mewujudkan bekalan dan seterus melaksanakan produk mampu milik,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian ‘Arts & Lights Play!’ di Boulevard Shops Southville City, KL South di sini, hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bulan lalu mengumumkan perkhidmatan pembinaan dan kos bahan binaan akan dikecualikan SST.

Antara bahan pembinaan yang tidak dikenakan SST adalah simen, pasir dan besi.

Mengulas mengenai prospek pasaran hartanah negara, Hon Sang berkata, pihaknya menyatakan keyakinan bahawa kerajaan akan terus menyediakan ekosistem terbaik dalam menyokong pertumbuhan aspek ekonomi ini.

“Kerajaan dilihat bakal memperkenalkan perlaksanaan dasar perumahan yang baru yang mana ia dijangka memulihkan kembali sentimen terhadap pasaran hartanah.

“Sebagai syarikat, kami sentiasa menyokong langkah strategik serta proaktif oleh kerajaan dan akan terus melaksanakan pembangunan rumah mampu milik kepada rakyat negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, acara ‘Arts & Lights Play!’ di Boulevard Shops Southville City akan berlangsung pada hujung minggu bermula 9 September hingga 28 Oktober ini yang menyediakan pelbagai aktiviti kepada pengunjung.

Tambahnya, pihaknya menyasarkan kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung pada acara itu dan pada masa sama ingin menarik perhatian pembeli berpotensi bagi projek hartanahnya.

Berita Harian X