Rabu, 12 September 2018 | 6:56pm
Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA)A, Eric Lim.

RETALK MALAYSIA platform digital hartanah

PETALING JAYA: Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) menjalin kerjasama dengan portal pekerjaan dalam talian dan media Australia, W Media Holdings Pty Ltd (WM) untuk menubuhkan platform digital yang dikenali sebagai RETALK MALAYSIA.

Platform yang dijangka dilancarkan pada suku keempat itu akan menyediakan perkembangan terkini mengenai isu yang berlaku dalam industri hartanah di negara ini.

Presiden MIEA, Eric Lim, berkata langkah berkenaan diambil bertujuan untuk mengukuhkan visi pihaknya bagi terus relevan dalam pasaran hartanah dengan meningkatkan nilai di kalangan ahlinya.

“Apa yang lebih penting, pengamal hartanah terutamanya ahli MIEA kini boleh menerima laporan dan berita mengenai pasaran hartanah di samping peluang pekerjaan bagi perunding dan ejen hartanah menerusi portal berkenaan.

“Kami menganggapnya sebagai penciptaan persekitaran pembelajaran elektronik bagi menyediakan kandungan yang tepat dan mempromosikan pembangunan dalam industri,” katanya pada sidang media selepas memeterai perjanjian persefahaman (MoU) di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Ketua Eksekutif MIEA, K. Soma Sundram dan wakil WM, Richard Simpson.

Mengulas lanjut, Lim berkata pihaknya tidak berniat untuk bersaing dengan portal media berkaitan hartanah yang sedia ada tetapi pihaknya mahu mengambil tanggungjawab untuk mendidik pasaran.

“Di samping itu, kami juga mahu mencipta portal yang boleh menarik minat peserta industri serta profesional hartanah untuk melayarinya. Portal berkenaan juga bakal memuatkan senarai carian pekerja bagi industri ini.

“Pasaran pekerjaan dalam industri ini adalah besar dan terdapat permintaan yang tinggi terhadapnya. Ahli kini kami boleh menyalurkan sumber mereka menerusi platform ini untuk mendapatkan bakat dalam bidang ini secara langsung,” katanya.

Beliau menambah, MIEA juga menyasar lebih 10,000 langganan bagi portal berkenaan dalam tempoh setahun selepas dilancarkan.

“Mereka yang melanggan boleh terdiri daripada ejen hartanah dan juga masyarakat umum yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan hartanah semasa,” katanya.

Pada masa ini, MIEA mempunyai 3,500 ahli yang berdaftar dan ia menyasar untuk mencapai sehingga 5,000 ahli berdaftar dalam tempoh setahun akan datang.

Berita Harian X