Sabtu, 22 September 2018 | 6:28pm
PENCERAMAH dari Kausar Wealth Management Sdn. Bhd, Khamarul Azhar Hashim menyampaikan ceramah pada Pameran Hartanah MyRumah 2018 anjuran The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) di Mahkota Parade, Banda Hilir. - Foto Rasul Azli Samad

Tahap kesedaran hibah masih rendah

MELAKA: Sekurang-kurangnya 0.2 peratus daripada 15 juta penduduk negara ini membuat penyediaan dokumen hibah, sekali gus menunjukkan tahap kesedaran mengenai pembahagian harta mengikut formula tertentu itu masih rendah.

Pakar hartanah, Khamarul Azhar Hashim, berkata jika berhasrat untuk membahagikan harta, mereka patut mempertimbangkan hibah kerana perlu menggunakan instrumen tepat, terutama bagi orang Islam yang terikat kepada hukum syarak seperti faraid.

Berdasarkan statistik, katanya, hanya dua daripada 1,000 orang yang membuat dokumen berkenaan di negara ini.

“Hibah adalah harta bukan pusaka yang membolehkan untuk memilih aset secara individu, berbanding faraid dan mendapat persetujuan badan berkuasa mengenai dokumentasi sehingga hasrat pemilik terlaksana berdasarkan keperluan.

“Sebagai contoh hibah hartanah bercagar. Masih ramai yang tidak tahu rumah yang di dalam pembiayaan boleh dihibahkan dan ramai yang mempunyai persepsi sebaliknya pada ketika ini (tidak boleh dihibah).

“Ada solusinya (boleh dihibahkan) membabitkan rumah yang masih di dalam hutang,” katanya selepas menyampaikan ceramah pada Pameran Hartanah MyRumah 2018 anjuran The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) di pusat beli-belah Mahkota Parade, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Khamarul Azhar meminta pemilik hartanah supaya bijak merancang dengan kaedah terbaik dan memahami situasi kesukaran masing-masing.

“Jangan letakkan orang yang kita kasihi di dalam keadaan sukar sebab kita perlu bertanggungjawab.

“Jadi, rancanglah awal kerana sayang (membuat hibah). Kerana yang zalim itu adalah pemilik harta yang tidak merancang,” katanya.

Berita Harian X