Selasa, 30 Oktober 2018 | 7:28pm

Hartanah berdekatan MRT Pusat Bandar Damansara paling mahal - Kajian

KUALA LUMPUR: Kawasan perumahan dalam lingkungan satu kilometer dari stesen Mass Rapid Transit (MRT) Pusat Bandar Damansara memiliki harga hartanah paling mahal dengan median harga RM4 juta, menurut Centre For Governance and Political Studies (Cent-GPS).

Berdasarkan laporan 'Kajian MRT: Golongan B40 dan M40 perolehi manfaat dari projek MRT?', Cent-GPS turut mendapati harga median rumah sekitar stesen MRT Sungai Buloh dan Taman Mutiara yang tinggi, menyebabkan ia hanya mampu dimiliki oleh golongan ekspatriat iaitu satu peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

"Walhal mengikut kebiasaan, kawasan ini tidak dianggap sebagai kawasan kejiranan mewah berdasarkan kedudukannya dari pusat bandar.

"Namun, pembangunan baharu di kawasan ini mempunyai rumah harta tanah seperti rumah berkembar dua tingkat dan banglo yang tidak mampu dimiliki oleh golongan B40 dan M40, menurut firma kajian sikap dan sains sosial yang berpangkalan di sini itu.

Kenyataan itu turut mempersoalkan mengapa MRT tidak mencapai matlamat pembinaannya termasuk sasaran 250,000 penumpang sehari selepas setahun beroperasi dengan catatan hanya 140,000 penumpang sehari pada Mac lalu.

Berdasarkan kajian ke atas 5,200 data rumah yang dikumpul di sekitar stesen MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK), Cent-GPS juga mendapati tiada kawasan perumahan yang mampu dimiliki oleh golongan B40 sepanjang laluan itu berdasarkan harga kaki persegi untuk hartanah.

Kenyataan Cent-GPS juga menyebut hanya lapan daripada 31 hentian yang kesemuanya menuju ke hentian MRT Kajang yang boleh dikategorikan sebagai perumahan mampu milik untuk M40.

Hanya kawasan perumahan yang berhampiran stesen MRT Sri Raya menghala ke MRT Kajang sahaja yang menepati kriteria kemampuan golongan M40 iaitu RM400 kaki persegi.

Selain itu, pembangunan perumahan sekitar stesen MRT Sungai Buloh hingga stesen MRT Bandar Utama diklasifikasikan sebagai di luar kemampuan golongan ini.

Kawasan perumahan berdekatan stesen MRT Taman Suntex hingga MRT Sungai Buloh, kecuali Kampung Selamat tidak mempunyai hartanah jenis pangsapuri berharga RM400,000 ke bawah, dengan andaian kos bulanan pinjaman untuk memiliki sebuah rumah mampu milik tidak melebihi RM1,700.

Menurut kajian itu juga, hanya sebuah hospital kerajaan sahaja yang terletak dalam lingkungan satu kilometer di sepanjang laluan MRT SBK manakala Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) juga tidak terletak berdekatan dengan mana-mana stesen MRT. -BERNAMA

Berita Harian X