Selasa, 20 November 2018 | 2:44pm
BALLY Saputera Jano Sati. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Riyadh Group dari Indonesia lebar sayap ke Malaysia

SHAH ALAM: Pemaju hartanah terkemuka Indonesia Riyadh Group Indonesia (RGI) melebarkan sayapnya ke pasaran hartanah Malaysia dengan pembelian pegangan utama dalam dua syarikat hartanah Malaysia, Mainstay Holdings Sdn Bhd dan Pembinaan Tetap Teguh Sdn Bhd (PTT).

Kedua-dua syarikat hartanah itu memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan RGl, yang komited untuk melabur AS$450 juta (RM1.884 bilion) sebagai sebahagian daripada penerokaannya ke pasaran hartanah Malaysia.

Usaha sama itu akan mentransformasikan Space U8 Mall seluas 55,000 meter persegi di -Bukit Jelutong, di sini, dan penambahbaikan pembangunan dirancang Horizon Village Outlets (HVO) di Serenia City di Sepang, Selangor.

MoA itu yang diadakan di gedung mesra alam Space U8 milik Mainstay, dimeterai oleh Presiden Pengarah RGl, Bally Saputra Dt. Janosati, dan Pengarah Urusan Mainstay/PTT, Teo Swee Phin dan disaksikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

“Pembelian pegangan dan seterusnya pelaburan oleh RGI akan menyaksikan transformasi Space U8 menjadi sebuah pusat komersial yang akan mempamerkan yang terbaik dari Indonesia, menampilkan pelbagai jenama dan produk Indonesia serta restoran kulinari dan outlet hiburan,” kata Bally kepada pemberita, di sini.

Sementara itu, Horizon KLPO Sdn Bhd adalah pemilik tanah seluas 10.35 hektar di Serenia City dan enam unit lot kilang.

Tanah itu pada asalnya diperuntukkan bagi pembangunan projek outlet premium, HVO, yang akan diuruskan oleh Horizon Group Properties.

Rancangan baharu HVO itu akan terdiri daripada outlet premium dua tingkat dan enam blok menara yang akan menempatkan sebuah hotel, pangsapuri berperkhidmatan mewah serta pusat liburan, perubatan dan pusat kecergasan.

Komponen tambahan itu akan melengkapkan dan meningkatkan lagi nilai projek HVO asal, yang mempunyai nilai pembangunan kasar RM1.7 bilion.

"Malaysia mungkin kelihatan seperti negara yang mencabar kepada ramai pelabur Indonesia tetapi terdapat banyak peluang perniagaan bagi kami di sini memandangkan kemajuan negara dan persekitaran yang mesra perniagaan,” katanya.

— BERNAMA

Berita Harian X