Khamis, 13 Disember 2018 | 8:00am
Ribuan rumah dihasikan di kilang automasi bertingkat yang luas, dilengkapi sistem reka bentuk robotik yang canggih.

Mampu siapkan 10,000 rumah setahun

Gamuda IBS, pelopor teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Malaysia, komited untuk membantu kerajaan dalam memenuhi sasaran membina 100,000 unit rumah mampu milik menjelang 2020 menggunakan teknologi IBS.

Keyakinan itu bersandarkan keupayaan syarikat berkenaan yang kini mampu menyiapkan 10,000 unit rumah setahun, berbanding hanya 3,000 unit sebelum ini selepas kilang kedua miliknya mula beroperasi bulan ini.

Terletak di Banting, Selangor, kilang berkeluasan 66 ekar (26.7 hektar) dan bernilai RM350 juta yang beroperasi secara automasi robotik sepenuhnya itu, mampu menyiapkan sehingga 7,000 unit rumah setahun.

Jumlah itu adalah lebih sekali ganda daripada kapasiti kilang pertama Gamuda IBS yang juga kilang IBS digital pertama di Malaysia yang terletak di Sepang dan mula beroperasi pada Julai 2016.

Pengurus Besar Gamuda IBS, Tan Ek Khai, berkata dengan gabungan kapasiti kedua-dua kilang miliknya itu membolehkan pihaknya untuk menyumbang sekurang-kurangnya sehingga 10 peratus daripada 100,000 sasaran rumah mampu milik yang ingin dibina kerajaan dalam tempoh dua tahun ini.

“Dengan teknologi IBS digital yang kami miliki, ia menawarkan peluang dan nilai yang hebat dalam cubaan kami untuk untuk memenuhi aspirasi ditetapkan kerajaan di dalam Rancangan Malaysia ke-11 iaitu memastikan 100,000 unit rumah mampu milik dibina menjelang 2020,” katanya.

Persekitaran bangunan selamat


Gamuda Land telah menyiapkan 714 unit rumah untuk RSKU Gapura Bayu di Jade Hills, Kajang dalam tempoh 24 bulan, setahun lebih awal daripada jadual.

Manfaat lain ditawarkan IBS adalah sistem automatik dan persekitaran kilang Gamuda menggalakkan persekitaran bangunan yang selamat.

Katanya, panel dan papak (slab) dihasilkan dalam persekitaran kilang yang terkawal dan dihantar ke tapak pembinaan untuk dinaikkan dan dipasang seperti pemasangan ‘lego’.

“Ini membolehkan pembinaan struktur asas satu tingkat disiapkan dalam masa seminggu sahaja dan mengurangkan tempoh pembinaan keseluruhan projek kepada hampir 12 bulan.

“Bagi pembangunan bertingkat tinggi, kaedah pembinaan secara konvensional mengambil masa selama 36 bulan untuk menyiapkannya, namun Gamuda IBS boleh menyiapkannya dalam tempoh hanya 24 bulan.

“Ini berdasarkan rekod trak kami menyiapkan apartmen Gapura Bayu, projek Rumah Selangorku di Jade Hills, Kajang dan juga beberapa projek rumah mampu milik untuk Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Ini menjadi testimoni kepada keupayaan syarikat untuk menyiapkan sesebuah projek perumahan dalam tempoh yang lebih singkat berbanding kaedah konvensional,” katanya.

Ek Khai juga menolak tanggapan yang mengaitkan penggunaan IBS di dalam projek pembangunan adalah tidak berkualiti sebagai bukan sahaja tidak benar, malah menimbulkan salah faham terhadap teknologi terbabit.

Begitu juga dengan persepsi mengatakan kediaman yang dibina menggunakan teknologi IBS menghasilkan reka bentuk yang tidak menarik dan tidak fleksibel.

“Hakikatnya, IBS mendatangkan manfaat yang banyak kepada industri pembinaan yang mana akhirnya menguntungkan pembeli. Contohnya, teknologi digital Gamuda IBS membolehkan pemaju menawarkan pelbagai reka bentuk rumah berbeza kepada pembeli sama ada untuk kediaman teres, banglo atau apartmen.

“Dengan kaedah pembinaan yang beralih kepada automasi dengan penggunaan alat reka bentuk digital dan kaedah robotik, pembangunan rumah IBS dijamin menawarkan kualiti terbaik kerana ia dibina di dalam kilang yang terkawal persekitarannya.

“Malah ia juga menggunakan kurang tenaga kerja manual dan mengambil masa yang lebih singkat untuk dibina,” katanya.

Pelbagai kelebihan IBS


Semua produk Gamuda IBS diperiksa sebelum dihantar ke tapak lokasi untuk pemasangan.

Disebabkan pelbagai kelebihan ditawarkan IBS, pemaju hartanah Gamuda Land, katanya, turut mengaplikasikan teknologi itu ke dalam projek perumahan mereka.

“Gamuda Land kini membina pelbagai jenis rumah bertanah sama ada dari teres sehingga ke banglo bagi projek sedia ada seperti Gamuda Gardens dan untuk projek baharu.

“Kelebihan lain IBS ialah pemaju boleh menawarkan pembeli pelbagai pilihan reka bentuk rumah yang menarik dan menepati selera pembeli untuk kediaman idaman mereka.

“Berlalu sudah era di mana rekaan tipikal rumah yang kelihatan sama dalam satu deretan barisan di dalam sebuah taman perumahan.

“Kini adalah zaman untuk rekaan rumah yang moden, luas dengan kualiti yang tinggi, sama ada untuk rumah jenis teres, kluster, berkembar atau banglo. Ia kini boleh dilakukan sepenuhnya oleh sistem Gamuda IBS digital.

"Ini bermakna tidak mustahil untuk penduduk di sebuah taman perumahan atau perbandaran memiliki sebuah rumah yang mempunyai reka bentuk, ruang dalaman dan ciri-ciri tersendiri dan berbeza daripada penduduk lain," katanya yang yakin konsep sedemikian adalah masa depan untuk pembangunan hartanah di Malaysia.

Tiada lagi masalah lantai bilik mandi bocor dengan IBS


Gamuda IBS menghasilkan pod bilik mandi di kilang sebelum dipasang sebagai unit lengkap di tapak lokasi.

Sistem Binaan Berindustri (IBS) pada masa kini menjadi pilihan banyak negara maju kerana menawarkan pelbagai manfaat termasuk lebih produktif, selamat, kurang bergantung kepada pekerja asing, kos lebih rendah dan menjimatkan masa pembinaan.

Biarpun konsep IBS secara relatifnya masih baharu di Malaysia, negara-negara Scandinavia, Jerman, Singapura, malah Thailand sudah pun menggunapakai teknologi pembinaan ini sejak berdekad lalu.

Walaupun IBS lebih dikenali dan menyerlah dalam membangunkan projek perumahan, mungkin ramai tidak mengetahui yang ia juga sebenarnya boleh menghasilkan pelbagai produk lain seperti pod bilik mandi.

Pelopor teknologi IBS di Malaysia, Gamuda IBS mempunyai keupayaan untuk menghasilkan pod bilik mandi berkualiti tinggi yang boleh disiapkan di dalam kilang sebelum dihantar dan dipasang sebagai unit lengkap di tapak pembinaan.

Pengurus Besar Gamuda IBS, Tan Ek Khai, berkata sebaik pod bilik mandi itu dibawa ke tapak pembinaan, ia boleh terus dipasang ke unit kediaman menggunakan kren yang tidak membabitkan penggunaan simen langsung.

Katanya, jika pod bilik mandi itu memerlukan pemasangan jubin, ia akan dipasang terlebih dulu di kilang dan bukan di tapak pembinaan, sekali gus menyumbang kepada persekitaran kerja yang lebih bersih dan kemas.

"Unit bilik mandi pratuang (PBU) ini dibina sebagai satu unit tunggal yang lengkap, dengan tiada sebarang sendi kelihatan kerana setiap unit siap dibina lengkap dengan semua sambungan elektrik, paip dan pengalihudara yang diperlukan, selain lantai dan dinding yang kalis air.

"Pembinaan bilik mandi menggunakan IBS ini akan menamatkan tabiat buruk pembuangan sisa pembinaan yang tidak betul ke dalam perangkap lantai. Apa yang kami bina ini secara dasarnya adalah mengikut konsep 'plug-and-play' yang mempercepatkan keseluruhan proses pembinaan perumahan,”

katanya.


Pod bilik mandi dilengkapi sambungan elektrik, paip dan pengudaraan selain dinding, lantai dan kelengkapan kalis air.

16,000 pod bilik mandi setahun

Tambahnya, PBU itu juga adalah mesra pengubahsuaian kerana pemilik rumah boleh menukar jubin baharu mengikut pilihan tersendiri selain boleh juga untuk mengubah kedudukan perkakasan lain sedia ada yang dipasang siap seperti cermin.

"Kilang IBS kami di Banting dapat menghasilkan pelbagai produk, termasuk 16,000 bilik mandi setiap tahun yang membolehkan pembinaan menjadi lebih lancar menggunakan Gamuda IBS.

"Jika anda adalah seorang yang obses dan amat menitikberatkan soal kebersihan, kami ada berita kerana anda akan menjadi orang pertama 'merasmikan' penggunaan bilik mandi ini dan bukannya pekerja pembinaan seperti biasa terjadi dalam pembinaan konvensional.

“Ini kerana pod bilik mandi ini akan ditutup dan dikunci sewaktu proses pembinaan berlaku sekali gus menghalang sesiapa sahaja daripada menggunakannya, "katanya.

Kelebihan utama yang ditawarkan dalam penggunaan IBS ialah memastikan pemilik rumah dan penghuni supaya tidak perlu risau dengan masalah kebocoran lantai bilik mandi yang sering berlaku terutama di kediaman unit bertingkat.

Ek Khai akui menjadi igauan ngeri buat pembeli jika mengetahui unit yang baharu mereka beli mengalami masalah kebocoran di bilik mandi selepas berpindah masuk.

“Menjadi beban tambahan buat pembeli apabila terpaksa membaiki masalah kebocoran ini kerana selain menelan kos yang tinggi, ia juga memakan masa yang agak lama untuk dibaiki sehingga mengganggu keselesaan penghuni itu sendiri.

“Justeru pembinaan pod bilik mandi di dalam kilang menjadi langkah penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah sedemikian daripada terus berlaku.

“Pod bilik mandi yang kalis air dan tahan bocor itu dibina secara berasingan dan bersendirian bagi memastikan binaannya teguh dan berkualiti tinggi.

"Sehubungan itu, masalah yang biasanya penghuni alami mengenai kebocoran bilik mandi di antara lantai tingkat dapat ditampung dan isu berkaitan bocor dan kalis air diminimumkan terutama di bangunan bertingkat,” katanya.


Kilang Gamuda IBS yang kedua di Banting mampu menghasilkan 16,000 pod bilik mandi setahun.

Berita Harian X